Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.


Perkataan ‘pergola’ ni sebenarnya berasal daripada bahasa Latin iaitu pergula. Pada zaman Rom kuno, pergola adalah satu istilah untuk merujuk struktur kayu yang digunakan untuk menyangga tanaman anggur. Pergola adalah binaan sementara. Ia juga membawa maksud semua struktur naungan atau peneduh yang ditambah pada bangunan atau rumah.

Merupakan salah satu jenis gazebo, pergola ialah satu idea yang menarik untuk mencantikkan laman. Memiliki laman rumah yang indah dan estetik merupakan impian bagi semua orang.
Namun begitu, terdapat pelbagai persoalan yang timbul seperti jenis kayu yang sesuai, tempoh pembinaannya dan sebagainya. Untuk menjawab persoalan yang bermain di fikiran anda, mari kita menelusuri perkongsian Encik Nidzar Syammil menerusi Facebook Tukang Apa Hari Ini (T.A.H.I.) di bawah ini:

Sahaja hendak berkongsi kerana pada hari itu, ada membuat pergola. Mungkin ada di kalangan anda yang ingin mengambil idea ini untuk mencantikkan laman, kan? Anggaran tempoh masa pembinaannya adalah dalam lingkungan tiga hari dengan tenaga manusia sebanyak dua orang.
Untuk tiang, kayu berukuran 5×5 inci digunakan supaya tiang itu kelihatan kuat dan tegap. Kayu kuda-kuda panjang itu berukuran 2×6 inci dan kayu kuda-kuda pendek pula bersaiz 2×5 inci.
Tinggi pergola adalah lebih kurang dalam sembilan kaki. Saya gunakan kayu balau sepenuhnya yang sememangnya terbukti tahan dengan cuaca di Malaysia, bak kata orang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Sebelum hendak membeli produk-produk kayu taman ini, anda perlu mengambil tahu jenis kayu yang akan digunakan oleh penjual. Sekurang-kurangnya, kayu meranti atau nibong.
Jika inginkan ketahanan yang lebih lama, anda boleh memilih kayu balau, merbau atau resak. Untuk pilihan yang paling padu, kayu cengal dan belian kerana kedua-dua kayu ini sudah diyakini ketahanannya!
Meranti/Nibong: empat hingga lima tahun Balau/Resak/Merbau: lapan hingga 10 tahun Cengal/Belian – 15 tahun ke atas
Ingat! Kayu mesti diselenggara (maintenance), contohnya setiap 2-3 tahun kena cat/minyak semula supaya kayu itu sentiasa mengandungi minyak yang cukup dan berupaya untuk mengekang air daripada masuk dan seterusnya mereputkan kayu tersebut.

Demikianlah perkongsian daripada Encik Nidzar Syammil. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kerja-kerja kayu yang diusahakannya, anda boleh merujuk kepada beliau menerusi laman Facebook Nidzar Syammil.

Sumber: Nidzar Syammil via Tukang Apa Hari Ini