KJ Dedah Lebih 400 Orang Meninggal Dunia Setiap Minggu Di Malaysia Akibat Rokok
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan seramai 400 orang meninggal dunia setiap minggu di Malaysia akibat rokok.
Katanya lagi, pengambilan tembakau merupakan faktor utama yang mencetuskan penyakit kanser iaitu penyakit utama yang menyebabkan kematian di hospital.
Beliau berkata demikian dalam satu video berkaitan Generational End Game (GEG) yang dimuat naik di platform Tiktoknya hari ini.
GEG adalah satu inisiatif terbaru kerajaan bagi mengurangkan jumlah perokok di Malaysia yang melarang aktiviti merokok bagi generasi yang lahir selepas tahun 2007 buat selama-lamanya.
@khairykj Generational Endgame boleh mengurangkan jumlah perokok, mengawal ketagihan dan menyelamatkan banyak nyawa. Sokong #GEG untuk kebaikan anak-anak dan cucu-cucu kita di masa hadapan. It’s now or never.
“Secara global, setiap tahun seramai 6 juta mati disebabkan perbuatan merokok dan di Malaysia lebih 400 orang mati disebabkan oleh rokok setiap minggu, pengambilan tembakau merupakan faktor utama pencetus kanser- penyakit utama yang menyebabkan kematian di Malaysia,” menurut Khairy dalam video tersebut.
Kandungan dalam rokok seperti nikotin dan tembakau menyebabkan ketagihan dikalangan perokok dan membuatkan perokok susah untuk berhenti dari merokok. Setiap sedutan akan mengambil kuarang dari 10 saat untuk memberi tindak balas kepada otak.
Disebabkan setiap sedutan asap rokok itu perokok sukar untuk berhenti merokok dan menjadikan ramai merokok sepanjang hayat dan menghidapi pelbagai jenis penyakit.
Beliau turut berkata, rokok juga menyebabkan pelbagai penyakit kronik kepada perokok, dan ia bukan sahaja membahayakan diri perokok malah ia turut mendatangkan mudarat kepada orang di sekeliling yang tidak merokok.
“Ingat, tiada kuantiti atau jumlah tembakau yang selamat untuk kita. Tiada kuantiti yang selamat untuk asap rokok. Ianya memang berbahaya. Jauhi rokok, mainkan peranan anda dalam generasi bebas rokok. Sokong GEG,” katanya lagi.
Justeru, beliau turut meminta orang ramai supaya menyokong inisiatif GEG ini dalam usaha Malaysia menuju sebuah negara bebas asap rokok.
Sumber: TikTok