Pengsan & Terjatuh, Lelaki Dilapor Maut Semasa Berjalan Atas Jambatan Gantung
Seorang pelancong dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera selepas melakukan cabaran berjalan di atas jambatan gantung yang mempunyai ‘lantai’ berjarak luas di dua lokasi di China.
Memetik laporan Mothership, mereka dipercayai melakukan cabaran ‘fear with every step’ yang tular di media sosial.
Kedua-dua kejadian tersebut berlaku pada hari yang sama iaitu pada 22 Julai lalu.
Kejadian pertama berlaku di Jiushanding berhampiran Tianjin dan mengakibatkan seorang lelaki maut. Difahamkan ketika cuba untuk menyeberangi jambatan itu, lelaki tersebut dipercayai tidak sedarkan diri dan menyebabkannya terjatuh.
Mangsa yang memakai tali pinggang keselamatan tergantung di bawah jambatan itu.
Menerusi video yang tular di media sosial, tiga orang pekerja dilihat berlari dan cuba untuk menarik mangsa naik ke atas semula. Pun begitu, mangsa terjatuh ke dalam gaung sebelum sempat mereka menariknya.
Meninggal di hospital
Media tempatan melaporkan bahawa kakitangan perubatan bergegas ke tempat kejadian dan cuba menyelamatkan lelaki itu tetapi dia akhirnya disahkan meninggal dunia di hospital.
Sementara itu, insiden kedua pula melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di kawasan pelancongan Enshi Grand Canyon di wilayah Hubei.
Rakaman video memperlihatkan kanak-kanak lelaki itu berpaut pada tali pinggang keselamatan sebelum terlepas darinya.
Seorang lelaki dilihat cuba untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dengan memegang bajunya tetapi mangsa tidak dapat bertahan dan terjatuh ke bawah.
Hasil pemeriksaan ke atasnya mendapati bahawa dia mengalami patah tulang di bahagan tengah dan bawah tulang belakang serta luka di kepala.
Namun keadaannya stabil dan dia dibenarkan pulang ke rumah.
Berikutan kejadian itu, jabatan pelancongan dan kebudayaan tempatan telah mengeluarkan notis dan menyatakan bahawa kedua-dua jambatan itu kini ditutup sementara menunggu pemeriksaan keselamatan.
Dalam pada itu, jurucakap pengeluar jambatan mencadangkan bahawa kejadian itu mungkin berpunca daripada ‘kecacatan’ pada tali keselamatan.
Menurutnya, semua peralatan keselamatan yang digunakan di jambatan itu perlu diperiksa secara berkala kerana lama-kelamaan ia akan lusuh dan haus.
BACA: Cuaca Panas Melampau, London Balut Jambatan Guna Aluminium Foil, Pantul Semula Cahaya
Sumber: Mothership
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”