Siakap Keli
pemilik ular maut dibelit
Kredit: Getty Images & Pexels

Haiwan ‘Makan’ Tuan, Pemilik Ular Maut Dibelit Di Leher

Seorang pemilik ular maut selepas lehernya dibelit ular peliharaannya jenis boa constrictors sepanjang 18 kaki dalam kejadian di Pennsylvania baru-baru ini, lapor Metro UK.

Elliot Senseman, 27, ditemui maut oleh pihak polis bersama ular yang besar pada pukul 2 petang. Mangsa bersama ular peliharaannya ditemui di kediamannya di Fogelsville, Pennsylvania pada Ahad.

Menurut Metro UK, polis dipanggil ke rumah selepas menerima panggilan mengenai seorang lelaki yang mengalami serangan jantung selepas seekor ular (peliharaannya) melilit lehernya.

“Pegawai kami bertindak balas dengan menembak ular itu dengan harapan untuk membebaskan mangsa,” ujar Leftenan Peter Nickischer, pegawai Upper Macungie Township Police memberitahu Lehigh Valley Live.

Beliau juga berkata bahawa polis tidak mengetahui keadaan bagaimana serangan itu berlaku.

“Disebabkan keadaannya yang teruk, maka tiada temu bual lanjutan yang dijalankan di tempat kejadian mengenai ular, asal usulnya, atau apa-apa yang berkaitan dengannya,” kata Nickischer.

Senseman telah dibawa ke Hospital Lehigh Valley di Cedar Crest, bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak anoksik, iaitu kekurangan oksigen sepenuhnya ke otak – menurut pejabat Lehigh County Coroner.

Gambar hiasan | Kredit: Getty Images

Sementara itu ibunya, Heather memberitahu akhbar itu, “Anak lelaki saya unik, baik dan sepatutnya masih hidup dan bersama keluarga dan rakan-rakannya,”

Difahamkan, Senseman merupakan pengendali ular yang berpengalaman dan telah ‘biasakan diri’ bersama reptilia itu sejak berusia 10 tahun, maklum ahli keluarganya melalui Daily Beast.

Penemuan beberapa lagi ular di tempat kediamannya

Selain ular jenis Boa constrictors sepanjang 18 kaki tersebut, polis turut menemui dua lagi ular lain di rumah itu bersama beberapa haiwan lain.

Hal ini ekoran Sensemen dikenali dengan sifatnya yang suka selamatkan ular peliharaan dan tempatkannya di rumah baharu (rumahnya).

Menurut ahli keluarga, ular-ular itu adalah ular peliharaan yang telah diabaikan dan dianiaya sebelum ini.

“Dia masih ‘berkerja’ dengannya kerana ular-ular ini sangat agresif dan masih belum boleh ditempatkan lagi,” kata Heather.

Difahamkan, Boa constrictors menjadi haiwan kesayangan yang popular dan sering diiklankan sebagai haiwan peliharaan yang selamat dengan penyelenggaraan yang rendah.

Tetapi menurut ibunya, Senseman mahu orang ramai mengetahui risiko sebenar di sebalik haiwan reptilia tersebut.

“Terlalu ramai orang yang memelihara ular ini tidak dapat mengendalikan atau menjaganya dengan baik,” kata Heather.

Difahamkan, spesies itu tidak sepatutnya dibiakkan untuk dipelihara sebagai haiwan peliharaan.

Sebaliknya mangsa mahu ular-ular itu berada di habitat yang sesuai dengan persekitaran semula jadi mereka kerana ia tidak boleh diletakkan dalam dunia haiwan liar.

Sumber: Metro.UK

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma