Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ular Tidur Atau Keluar Memburu Pada Waktu Malam? Ini Penjelasannya

ular
Kredit: Marthastewart

Ketika malam menjelma, kebanyakan manusia mula berehat selepas seharian melakukan aktiviti. Namun, pernahkah anda terfikir ke mana ular pergi apabila keadaan mula gelap?

Iklan

Ada spesies ular yang mula aktif selepas matahari terbenam, manakala sebahagian yang lain lebih gemar bergerak pada waktu siang sebelum mencari tempat berlindung apabila malam tiba.

Hakikatnya, tabiat ular pada waktu malam berbeza mengikut spesies, suhu persekitaran dan keadaan habitatnya.

Menurut pakar reptilia, terdapat ular yang aktif pada waktu malam, ada yang hanya bergerak pada waktu siang, manakala sebahagian lagi lebih aktif ketika matahari terbit dan terbenam.

Berikut beberapa perkara menarik tentang aktiviti ular selepas matahari terbenam.

Ke Mana Ular Pergi Pada Waktu Malam?

Ular merupakan haiwan ektoterma, iaitu haiwan yang bergantung pada sumber haba dari persekitaran untuk mengawal suhu badan.

Menurut Mario Casas dari Northwest Exterminating di Doral, Florida, tahap aktiviti ular berkait rapat dengan keadaan cuaca dan boleh berubah mengikut musim.

Katanya, banyak spesies ular menjadi kurang aktif ketika cuaca sejuk dan cenderung mencari tempat berlindung yang dapat membantu mengekalkan suhu badan.

Sebagai contoh, ular derik biasanya lebih aktif pada waktu siang ketika musim bunga dan luruh apabila suhu persekitaran lebih sederhana.

Namun, ketika musim panas yang lebih panas, ular berkenaan cenderung bergerak pada waktu awal pagi dan senja.

Di kawasan yang sangat panas seperti gurun, sesetengah spesies mungkin menjadi aktif pada waktu malam bagi mengelakkan suhu yang terlalu tinggi.

Emily N. Taylor, profesor sains biologi dan pengarah Makmal Ekologi Fisiologi Reptilia di California Polytechnic State University, menjelaskan bahawa tabiat tersebut turut bergantung pada spesies ular.

Menurutnya, terdapat tiga kategori utama berdasarkan waktu aktiviti ular, iaitu nokturnal, diurnal dan krepuskular.

1. Ular Nokturnal Aktif Pada Waktu Malam

Bagi ular nokturnal, aktiviti biasanya bermula selepas matahari terbenam apabila suhu persekitaran semakin sejuk.

Pada waktu ini, ular akan keluar untuk memburu makanan, mencari pasangan atau bergerak di sekitar habitatnya.

Sesetengah spesies memilih waktu malam kerana keadaan gelap membantu mereka mengelakkan pemangsa atau mencari haiwan mangsa yang turut aktif selepas matahari terbenam.

Antara haiwan yang menjadi sumber makanan termasuk tikus, katak, serangga, cicak dan haiwan kecil yang lain.

Untuk mengesan mangsa, ular menggunakan gabungan deria kimia, keupayaan mengesan haba bagi spesies tertentu serta maklumat daripada deria lain.

Bagaimanapun, ketika waktu siang, ular nokturnal lazimnya akan bersembunyi di tempat yang terlindung untuk berehat dan mengelakkan ancaman pemangsa.

Menurut Taylor, antara tempat persembunyian yang sering digunakan termasuk lubang tikus, sarang tikus kayu, bawah timbunan kayu, celah batu serta objek terbiar.

Ada juga spesies yang berlindung di bawah bangunan.

Bagi ular yang hidup di kawasan tropika dan mendiami pokok, tempat persembunyian mereka mungkin berada di celah dedaun, bawah kulit pokok atau lubang pada batang pokok.

2. Ular Diurnal Lebih Aktif Pada Waktu Siang

Berbeza dengan ular nokturnal, ular diurnal lebih aktif pada waktu siang dan biasanya berehat apabila malam menjelma.

Menurut Taylor, rutin ular diurnal adalah bertentangan dengan spesies yang aktif pada waktu malam.

Selepas seharian berjemur, mencari makanan atau bergerak di kawasan habitatnya, ular ini lazimnya akan mencari tempat terlindung untuk berehat sehingga matahari terbit.

Tempat persembunyian tersebut bukan sahaja melindungi ular daripada pemangsa, malah membantu mengekalkan suhu badan supaya tidak menjadi terlalu panas atau sejuk sepanjang malam.

3. Ular Krepuskular Aktif Ketika Senja Dan Subuh

Selain dua kategori tersebut, terdapat juga ular yang dikenali sebagai krepuskular.

Ular dalam kategori ini lebih aktif ketika waktu peralihan antara siang dan malam, khususnya pada awal pagi dan senja.

Pada waktu tersebut, suhu persekitaran biasanya lebih sederhana dan haiwan yang menjadi mangsa turut mula bergerak.

Selepas selesai melakukan aktiviti pada waktu senja, ular berkenaan lazimnya akan kembali ke tempat persembunyian untuk berehat sepanjang malam.

Antara tempat yang mungkin menjadi pilihan termasuk lubang tanah, bawah batu, kayu tumbang atau kawasan semak yang tebal.

Namun, tabiat ini juga boleh berubah bergantung pada spesies, suhu, keadaan cuaca dan ketersediaan makanan.

Adakah Ular Tidur Pada Waktu Malam?

Seperti haiwan lain, ular juga memerlukan masa untuk berehat. Namun, cara ular berehat berbeza daripada manusia.

Menurut Casas, ular tidak mempunyai kelopak mata. Oleh itu, mata mereka kekal terbuka walaupun sedang tidur.

Keadaan ini menyebabkan seseorang mungkin sukar membezakan sama ada ular sedang tidur atau sekadar tidak aktif.

Jelasnya, sama ada ular aktif pada waktu siang atau malam, haiwan itu boleh berada di tempat persembunyian selama beberapa jam untuk menjimatkan tenaga sehingga keadaan persekitaran sesuai untuk kembali bergerak.

Cara Kekal Selamat Jika Berada Di Luar Rumah Pada Waktu Malam

Memandangkan sesetengah spesies ular aktif selepas matahari terbenam, beberapa langkah berjaga-jaga boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko terserempak dengan haiwan berkenaan.

Antara langkah yang disarankan oleh pakar termasuk memastikan rumput di halaman sentiasa pendek, membuang timbunan kayu atau objek yang boleh menjadi tempat persembunyian ular serta menyimpan kayu api di tempat yang tidak bersentuhan terus dengan tanah.

Selain itu, pemilihan tanaman yang tidak terlalu rimbun juga boleh membantu mengurangkan kawasan persembunyian ular.

Jika melakukan aktiviti di luar rumah pada waktu malam, gunakan lampu suluh dan pakai kasut bertutup.

Berhati-hati ketika melakukan kerja di halaman rumah, selain sentiasa memerhatikan tempat tangan dan kaki diletakkan.

Taylor menjelaskan bahawa ular sebenarnya tidak mencari peluang untuk mematuk manusia kerana kebiasaannya haiwan itu hanya bertindak sedemikian apabila berasa terancam.

Sebagai contoh, ular mungkin mematuk apabila terpijak secara tidak sengaja.

Sekiranya terserempak dengan ular, perkara paling penting ialah menjaga jarak, tidak mengganggunya dan membiarkan haiwan tersebut bergerak menjauhi kawasan berkenaan.

Intipati
  • Tabiat ular pada waktu malam bergantung kepada spesies, suhu persekitaran dan habitatnya.
  • Ular boleh aktif pada malam, siang atau waktu senja dan subuh.
  • Pakar menyarankan halaman kemas, lampu suluh dan kasut bertutup ketika berada di luar malam.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan