Siakap Keli
Gambar via bernama

Animasi Mechamato Ke Stesen Tv Popular Portugal

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Setelah berjaya menawan lebih 20 buah negara di Asia Pasifik, siri animasi dari Malaysia yang semakin popular Mechamato The Animated Series terus melangkah jauh dengan mendapat tempat di stesen televisyen popular Portugal.

Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta Faiz Zainal Abidin berkata siri animasi tersebut akan ditayangkan di saluran Sociedade Independente de Comunicação atau SIC K yang juga saluran utama dan terkemuka di negara itu pada September ini.

“Kini, Mechamato semakin mendunia. Kami amat teruja kerana dapat menghiburkan kanak-kanak dari seluruh pelosok dunia dengan menggunakan bahasa ibunda mereka (bahasa Portugis) dalam siri animasi kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara keunikan animasi berkenaan sehingga mendapat tempat di seluruh dunia adalah kerana jalan penceritaan yang menfokuskan kepada nilai-nilai murni, persahabatan, budaya selain memaparkan gabungan teknologi moden dan unsur tradisi tempatan.

Katanya, animasi tersebut turut mempamerkan kawasan bersejarah Bandar Hilir Melaka sebagai tema lokasi siri berkenaan.

“Saya harap penonton muda di Portugal dan juga di seluruh dunia sedikit sebanyak akan dapat belajar tentang sejarah dan budaya yang kita warisi suatu ketika dahulu sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Faiz berkata Mechamato The Animated Series itu juga telah ditayangkan di lebih 20 buah negara secara eksklusif di saluran Cartoon Network Asia Pasifik termasuk di Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Australia dan New Zealand.

Mechamato The Animated Series ini turut dialih suara ke bahasa Inggeris, Mandarin, Kantonis, Korea, Jepun, Thai dan Vietnam,” katanya.

Selain itu, Faiz berkata siri animasi berkenaan kini dapat ditonton menerusi saluran tempatan Astro Prima setiap Sabtu dan Ahad, 7 malam selain di Cartoon Network, HBO GO dan Astro GO.

Sementara itu, beliau berkata Mechamato Movie akan menemui penonton pada  Disember ini di pawagam  Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Sumber: Bernama

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka