Siakap Keli
youtuber thailand tonton mat kilau
Kredit: Studio Kembara Sdn. Bhd. & Facebook

‘Geng’ Youtuber Melayu Pattani Dari Thailand Datang Terengganu, Teruja Nak Tonton ‘Mat Kilau’

Sekumpulan geng Youtuber ‘jiran sedarah’ kita, orang Melayu Siam dari Pattani, Thailand datang ke Terengganu dan teruja nak tonton filem inspirasi sejarah paling ‘hit’, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

Kita dapat melihat ‘demam MAT KILAU‘ ini sudah merebak sehingga ke seluruh tanah air. Kita dapat melihatnya menerusi hantaran-hantaran warganet Malaysia di media sosial. Kesan filem ini juga telah menyebabkan ramai ibu bapa mula mendaftarkan anaknya ke dalam kelas silat. Punyalah hebat impak filem ini kepada pemikiran rakyat Malaysia.

Namun begitu, demam ‘MAT KILAU’ ini nampaknya tidak tertumpu kepada bumi Malaysia sahaja.  Sempadan negara pun tidak dapat menghalang gelombang Mat Kilau daripada terus berluasa. Jika perkara ini tidak berlaku, tidak akan ada sekumpulan orang Melayu dari Pattani, Thailand yang sanggup merentasi lebih  256 kilometer untuk menonton filem berkenaan.

Kredit: Facebook MUSLIMITED

DARAH NAYU, dari Patani ke Terengganu

Satu tim pembikinan video yang terkenal, khususnya di Selatan Thailand, Darah Nayu berkongsi satu hantaran di Facebook MUSLIMITED pada 28 Julai 2022. Dalam hantaran tersebut, mereka mengatakan bahawa pihaknya telah dijemput oleh Tourism Malaysia (cawangan Bangkok) untuk projek pada masa depan.

Perjalanan di Malaysia, tonton Mat Kilau

Selain itu, mereka akan berada di Malaysia selama tiga hari (29-31 Julai) untuk menonton filem Mat Kilau. Selain itu, mereka juga akan makan angin di sekitar Kelantan dan Terengganu. Pihak Dara Nayu juga bertanyakan kepada peminat mengenai lokasi tempat makan yang sedap di sekitar kawasan itu.

Dalam satu perkongsian di Facebook MUSLIMITED baru-baru ini, mereka bergambar beramai-ramai di hadapan bangunan ikonik Terengganu iaitu Masjid Kristal dan menulis kenyataan mengenai keinginan untuk menonton Mat Kilau.

“Ustaz mu tunggu aku datang. Salam Masjid Kristal Salam Terengganu. Salam Terengganu, Malaysia. Masjid ini sangat cantik. Malam ini kami ada temu janji dengan filem Mat Kilau,” katanya dalam perkongsian itu.

Terdapat banyak tempat yang dilawati mereka seperti Masjid Kristal, Terengganu Drawbridge dan sebagainya. Mereka bersiar-siar di sekeliling Terengganu sebelum masa tayangan filem Mat Kilau mereka iaitu pada malam 30 Julai.

Darah Nayu merupakan tim video creator atau Youtuber yang berasal dari Patani, Thailand. Mereka menyajikan peminat dengan kandungan seperti filem pendek, sketsa dan sebagainya. Penggunaan dialek Melayu Pattani telah menjadikan kumpulan ini unik dan memiliki identiti tersendiri. Disebabkan faktor ini juga, ramai peminat Darah Nayu terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Pantai Timur.

Penggunaan dialek Pattani yang mirip dengan dialek Pantai Timur Malaysia menjadi satu titik persamaan dan menjadi mesej mereka lebih dekat di hati peminat. Salah satu karya mereka yang viral dan ditonton ramai peminat hingga mencapai 1.1 juta tontonan (setakat ini) ialah filem pendek yang bertajuk “Hadiah untuk Kamu”.

Benarlah kata seseorang, apabila filem digunakan untuk membawa mesej positif, ia akan memberikan impak kepada pemikiran masyarakat. Filem terbaik bukanlah terletak pada kutipan tiket, bajet pembikinan mahupun pemilihan pelakon yang popular.

Nadi bagi sesuatu filem adalah keberkesanan mesej yang cuba disampaikan. Bukan sahaja ekonomi negara meningkat, malah mentaliti masyarakat juga berkembang. Filem ini terbukti mampu menaikkan jati diri kita dan menyemai rasa cinta akan negara.

Sumber: MUSLIMITED via Facebook

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma