Siakap Keli
Gambar: Bernama

KKM Setuju Pinda RUU Kawal Produk Tembakau, Kurangkan Denda Ke RM500

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju meminda kuantum denda bagi kesalahan dilakukan generasi yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya atau dikenali Generasi Penamat (GEG) dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 kepada RM500 atau perintah khidmat masyarakat berbanding peruntukan asal sebanyak RM5,000.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ia susulan perbincangan dan persetujuan serta kompromi secara bersama antara KKM dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen pada hari ini.

“Bagi memastikan akta yang berkuat kuasa selepas ini tidak dilihat bersifat punitif, kesalahan yang dilakukan golongan GEG hanya menetapkan denda maksimum RM500 atau khidmat masyarakat malah apa-apa kesalahan yang dilakukan golongan ini akan terlebih dahulu ditawarkan kompaun,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata KKM juga bersetuju melakukan pindaan dalam peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat untuk menghalang pemeriksaan badan dilakukan ke atas mana-mana individu yang belum mencapai usia 18 tahun.

Selain itu, katanya peruntukan bagi kesalahan pemilikan apa-apa produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga akan dipinda.

Khairy berkata bagi memastikan undang-undang itu dilaksanakan dengan baik dan teratur apabila dikuatkuasakan kelak, KKM akan secara berterusan menjalankan libat urus bersama pemegang taruh seperti badan bukan kerajaan kesihatan dan pemain industri termasuk dalam membuat penetapan peraturan-peraturan merangkumi produk yang akan dikawal selia di bawah akta tersebut.

Beliau berkata setiap peruntukan di bawah rang undang-undang itu juga akan dilakukan pemantauan dan penilaian berterusan.

“Dalam hal ini pihak kerajaan akan menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas secara pentadbiran untuk menyemak dan menilai semua peruntukan di bawah rang undang-undang ini termasuk kawalan yang melibatkan generasi yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya,” katanya.

Pada pembentangan hampir 50 minit itu, Khairy menjelaskan rang undang-undang tersebut amat penting dan tidak boleh ditangguhkan lagi dalam membendung amalan merokok di Malaysia khususnya bagi generasi muda yang bakal mengemudi pentadbiran negara, seterusnya melahirkan barisan pemimpin dan rakyat lebih sihat dan produktif.

Beliau berkata dengan adanya rang undang-undang itu, ia akan dapat mengurangkan bebanan kos rawatan yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk merawat penyakit akibat komplikasi merokok.

Sumber: Bernama

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.