Siakap Keli
dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas parlimen
Gambar: Bernama

RUU Kawal Produk Tembakau Dirujuk Ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) — Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul supaya Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang menyasar melahirkan Generasi Penamat (GEG) bagi merokok menjelang tahun 2040 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Jawatankuasa itu, yang dianggotai 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen kerajaan yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling), Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit), Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu-Masjid Tanah), Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) dan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Wakil pembangkang pula ialah Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching), R. Sivarasa (PH-Sungai Buloh), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor), Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Datuk Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang) dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Pejuang-Jerlun).

Khairy berkata usul itu dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 54(2) bagi menyerahkan rang undang-undang tersebut kepada jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata ini bagi membolehkan jawatankuasa itu membuat syor-syor untuk meneliti bahagian penguatkuasaan dalam rang undang-undang tersebut dan mencadangkan sebarang penambahbaikan sekiranya perlu tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, meneliti fasal berhubung penalti bagi kesalahan, cadangan penambahbaikan oleh Ahli Dewan Rakyat dan menyediakan suatu penyata mengandungi cadangan penambahbaikan bagi tujuan kawal selia produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok dalam tempoh sebulan.

“Jawatankuasa Pilihan Khas boleh melanjutkan tempoh ini sekiranya perlu tetapi hendaklah tidak melebihi tarikh hari pertama persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang akan datang,” katanya ketika membentangkan usul itu.

Khairy berkata jawatankuasa itu boleh menjemput mana-mana pihak seperti Ahli Parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, badan bukan berkepentingan dan masyarakat madani serta individu lain untuk hadir dalam persidangannya dari semasa ke semasa.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Khairy berkata beliau mahu ia diperhalusi secara mendalam bagi mendapat sokongan semua pihak.

“Lebih baik bila rumah ini (rang undang-undang itu) siap, pahat tidak berbunyi, biarlah rumah ini siap dengan sempurna ataupun sesempurna mungkin,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap rang undang-undang itu akan menjadi agenda pertama dalam Aturan Urusan Mesyuarat semasa Dewan Rakyat bersidang pada Oktober nanti.

“Saya tidak akan katakan bahawa ia dilengah-lengahkan sebaliknya ia dirujuk (kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen) dan saya setuju supaya apabila kita bentang nanti adalah dengan kemurnian dan kita semua boleh mencapai kata sepakat,” katanya.

Seramai 12 Ahli Parlimen membahaskan rang undang-undang itu, yang antara lain membangkitkan isu hak asasi individu dan kemungkinan salah guna kuasa dalam penguatkuasaan.

Persidangan bersambung esok.

Sumber: BERNAMA

Sofea Shahira

There's always another side to every story

" "