Siakap Keli
china sekat import taiwan
Gambar: AFP

China Umum Sekat Import Lebih 2,000 Produk Dari Taiwan

China Umum Sekat Import Lebih 2,000 Produk Dari Taiwan

China telah menyekat import produk daripada ratusan pengeluar makanan dari Taiwan dan menggantung sementara eksport pasir semula jadi ke negara itu. Taiwan menganggap ia sebagai balasan untuk menghukum negara tersebut dari segi ekonomi atas lawatan Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi semalam.

Sejak malam Isnin, apabila pegawai AS dan Taiwan mengesahkan bahawa Pelosi akan melawat Taiwan, Pentadbiran Kastam China telah menggantung import lebih daripada 2,000 daripada kira-kira 3,200 produk makanan dari Taiwan.

Beijing diketahui mempunyai kecenderungan untuk menghukum negara lain diatas tingkah laku yang tidak disukainya dengan ‘menyisihkan’ negara-negara tersebut daripada pasarannya. Taiwan adalah salah satu mangsanya. Namun begitu, penganalisis menyimpulkan bahawa tindakan terbaharu China ini adalah lonjakan besar dalam perang ekonomi tersebut.

“Pada masa lalu, China hanya menyasarkan produk tunggal daripada sektor utama seperti buah-buahan atau ikan tertentu. Dengan cara itu, mereka dapat mengekalkan kesan terhad terhadap makroekonomi Taiwan, tetapi boleh menyasarkan kawasan dimana Parti Progresif Demokratik (DPP) mempunyai pengaruh yang kuat.

“Tetapi sekarang China meluaskan tindakan ini dengan mendadak dan menyasarkan rantaian makanan secara keseluruhan, yang memberikan kelebihan terhadap mereka. Ini mungkin hanya permulaan, kami menjangkakan mereka akan meningkatkan lagi langkah sekatan ekonomi terhadap Taiwan,” kata Chiu Chui-Peng, Timbalan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Tanah Besar, iaitu sebuah badan yang merangka polis berkaitan China di bawah kerajaan Taiwan dan bertaraf kabinet.

Import yang digantung oleh Beijing kini meliputi 35 kategori termasuk ikan dan makanan laut, minyak, buah sitrus dan biskut. Ia memberi tamparan kepada syarikat pengeluar produk seperti mi segera, kicap Ve Wong dan Chi Mei yang membuat makanan sejuk beku.

Penggantungan import itu dimaklumkan secara terbuka oleh Kastam China di laman webnya dengan memaparkan “import digantung” bagi syarikat Taiwan yang dikatakan gagal melengkapkan pendaftaran di bawah peraturan baharu.

Pada 2021, China mengharamkan nenas Taiwan, satu langkah yang ditangani kerajaan Tsai dengan kempen yang memasarkan buah itu sebagai “nenas kebebasan” dan “nenas demokrasi”, membantu membuka peluang ke pasaran eksport alternatif.

Beijing juga menghalang import barang seperti epal lilin dan epal kastard dan tahun ini menambah kerapu ke dalam senarai hitam.

Walaupun China sekian lama menjadi pasaran eksport pertanian dan perikanan dari Taiwan, jumlah penghantaran tersebut hanyalah sebanyak RM891 juta setahun, iaitu sebahagian kecil daripada keseluruhan eksport Taiwan ke China.

Pada 2020, Taiwan mengimport 5.7 juta tan metrik pasir dan kerikil, dengan lebih 90 peratus datang dari China. Pasir asli membentuk lapan peratus daripada jumlah keseluruhan, menurut statistik kerajaan. Negara itu telah mengalami kekurangan pasir pada masa pertumbuhan ekonomi yang pesat kerana ia telah berusaha mengehadkan perlombongan pasir di sungainya untuk mengurangkan kerosakan kepada alam sekitar negara itu.

Pegawai Taiwan berkata mereka masih menilai potensi kerosakan akibat penggantungan perdagangan China, tetapi bersetuju bahawa ia akan memberi kesan yang besar. Kerajaan China didakwa amat memusuhi DPP, yang disifatkannya sebagai “elemen kemerdekaan Taiwan” walaupun pada hakikatnya parti itu menyokong mengekalkan status quo di Selat Taiwan.

Sekatan itu boleh melemahkan DPP dalam pilihan raya tempatan yang dijadualkan bulan November ini, pengundi biasanya akan menumpukan pada isu ekonomi, sosial dan alam sekitar tempatan.

Kerajaan Taiwan berkata ia akan membantu syarikat melengkapkan pendaftaran, tetapi menambah bahawa ini tidak akan menyebabkan sekatan itu ditarik balik.

BACA: Lagi Kes Individu Maut, Dipercayai Jatuh Dari Tingkat Atas Pusat Beli-belah

Sumber: Financial Times

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.