Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Arab Saudi Kitar Semula Kain Ihram Jemaah Haji, Hasilkan Lebih 5,000 Produk
Setiap tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji dengan memakai pakaian ihram. Selepas ibadah selesai, kebanyakan kain ihram itu tidak lagi digunakan.
Namun di Arab Saudi, kain-kain ihram terpakai kini dikitar semula menerusi Inisiatif Ihram Lestari. Ia adalah program yang mengumpul dan mengitar semula kain ihram untuk dijadikan pelbagai produk berguna.
Menurut jurucakap Pusat Pengurusan Sisa Kebangsaan Arab Saudi, Sultan Al-Harthi, lebih 5,000 produk berjaya dihasilkan daripada kain ihram yang dikitar semula sepanjang tahun lalu sahaja.
Ihram ialah pakaian khas yang dipakai oleh jemaah ketika menunaikan ibadah haji dan umrah.
Bagi lelaki, ihram terdiri daripada dua helai kain putih yang tidak berjahit. Pakaian ini melambangkan kesamarataan kerana semua jemaah berpakaian sama tanpa mengira latar belakang, pangkat atau kekayaan.
Selepas selesai beberapa rukun haji, jemaah akan menanggalkan ihram dan kembali memakai pakaian biasa.
Disebabkan jumlah jemaah haji yang sangat ramai setiap tahun, sejumlah besar kain ihram akan ditinggalkan selepas musim haji berakhir.
Menurut Al-Harthi, Inisiatif Ihram Lestari sejajar dengan pelbagai program di bawah Visi Arab Saudi 2030, khususnya Program Transformasi Nasional dan Program Kualiti Hidup.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja memperkukuh tanggungjawab sosial. Malah, membantu meningkatkan kemampanan ekonomi negara.
Pada masa sama, ia turut memperkasakan sektor bukan keuntungan melalui peluang pekerjaan dan pengeluaran yang melibatkan golongan wanita.
Selain itu, usaha tersebut turut menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih, memperkayakan pengalaman jemaah haji dan menyokong objektif Program Pengalaman Jemaah Haji.
Dari sudut ekonomi, penghasilan lebih 5,000 produk daripada kain ihram terpakai berjaya mengurangkan kos pengangkutan dan pelupusan sisa di tapak pelupusan.
Pada masa sama, bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sisa berjaya ditukar kepada produk bernilai tambah.
Inisiatif itu juga membuka 30 peluang pekerjaan bermusim serta memberi peluang kepada 25 tukang jahit daripada keluarga berpendapatan kecil untuk terlibat dalam penghasilan produk berasaskan fabrik kitar semula.
Dari aspek alam sekitar, lebih 211 tan tekstil berjaya dialihkan daripada berakhir di tapak pelupusan sampah sepanjang musim haji.
Langkah ini membantu mengurangkan pelepasan karbon secara ketara serta mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Al-Harthi menjelaskan bahawa operasi inisiatif ini bermula dengan pengumpulan kain ihram di lokasi-lokasi khas yang disediakan di sekitar kawasan tanah suci.
Selepas dikumpulkan, fabrik tersebut akan melalui proses pengasingan yang teliti sebelum dibersihkan dan disteril mengikut piawaian kesihatan yang ketat.
Menurut beliau, setiap bahan perlu melalui proses pemeriksaan menyeluruh. Ia bagi memastikan ia bebas daripada kotoran, kerosakan atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kualiti produk akhir.
Tiada bahan akan dibawa ke peringkat pembuatan selagi belum selesai menjalani proses rawatan dan pensterilan yang ditetapkan.
Kemudian, kain ihram yang dikumpulkan berjaya ditukar kepada pelbagai produk seperti beg, bantal, sarung pelindung dan cenderamata.
Selain kitar semula kain ihram, Pusat Pengurusan Sisa Kebangsaan Arab Saudi turut meneroka usaha menukarkan lebihan makanan kepada baja organik. Difahamkan, ia sebahagian daripada agenda memperluaskan ekonomi kitaran dan pengurusan sisa yang mampan.
Al-Harthi yakin Inisiatif Ihram Lestari boleh menjadi model perintis bagi pelbagai program pengurusan sisa pada masa hadapan.
Sekali gus, ia diharapkan membantu Arab Saudi membina masa depan yang lebih lestari dan mesra alam.