Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lantunan Ayat Suci Al-Quran Bergema Di Majlis Konvokesyen Harvard
Dalam satu video yang kini tular, sebuah momen indah berlaku di salah satu universiti paling berprestij di dunia, iaitu Universiti Harvard, Amerika Syarikat.
Siapa sangka, seorang pelajar wanita tampil melantunkan ayat suci Al-Quran di hadapan ribuan hadirin sempena majlis graduasi Harvard 2026.
Momen itu bukan sahaja menyentuh hati ramai, malah turut menjadi perhatian pengguna media sosial di seluruh dunia.
Graduan wanita dikenali sebagai Suheila Mukhtar mencuri perhatian apabila memperdengarkan bacaan Surah Al-‘Alaq ketika acara graduasi yang dipercayai berlangsung pada 26 Mei lalu.
Dalam video yang kini tular di media sosial, suasana dewan berubah menjadi cukup tenang dan penuh penghormatan ketika lantunan ayat suci Al-Quran bergema di hadapan para graduan, keluarga, pensyarah dan tetamu kehormat.
Ramai menyifatkan momen itu sebagai sesuatu yang luar biasa kerana jarang sekali bacaan Al-Quran diperdengarkan dalam acara akademik di universiti elit Barat.
Kehadiran bacaan Al-Quran dalam acara rasmi universiti tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada masyarakat dunia.
Bagi ramai orang, ia umpama lambang penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dan agama dalam komuniti kampus antarabangsa.
Untuk pengetahuan, acara tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada Baccalaureate Service. Ia adalah tradisi lama yang sudah lama dikaitkan dengan majlis graduasi universiti-universiti di Amerika Syarikat.
Tradisi ini menjadi jambatan antara institusi pendidikan moden dengan asal-usul keagamaan universiti pada zaman dahulu.
Harvard sendiri mempunyai sejarah yang sangat panjang dalam tradisi ini. Malah, majlis graduasi pertamanya pada tahun 1642 dianggap antara upacara graduasi terawal direkodkan di Amerika Utara.
Menariknya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Harvard mula memasukkan bacaan daripada pelbagai kitab suci dan tradisi agama sebagai simbol meraikan kepelbagaian pelajarnya dari seluruh dunia.
Apa yang membuatkan ramai tersentuh bukan hanya kerana bacaan Al-Quran itu sendiri, tetapi suasana penuh hormat yang diberikan oleh seluruh dewan ketika ayat suci tersebut dialunkan.
Bagi umat Islam, momen seperti ini sememangnya memberi rasa bangga yang sukar digambarkan. Apatah lagi apabila ayat Al-Quran berkumandang di sebuah institusi yang menjadi impian ramai pelajar di seluruh dunia.