Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Cara Muat Turun Sijil Haji Secara Digital
Setiap insan yang berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci pasti menyimpan seribu satu momen indah sepanjang menunaikan ibadah haji.
Disebabkan itu, ramai jemaah gemar menyimpan apa sahaja kenangan berkaitan perjalanan haji mereka termasuk gambar, video, tag nama dan juga sijil haji sebagai bukti serta memori paling berharga dalam hidup.
Menariknya, jemaah kini boleh memuat turun sijil haji secara digital dengan mudah terus melalui telefon pintar.
Tak perlu lagi tunggu lama atau risau dokumen tercicir kerana semuanya boleh diakses secara dalam talian dan disimpan terus di dalam telefon masing-masing.
Bagi jemaah yang masih belum tahu, sijil haji digital ini boleh diperoleh melalui kad Nusuk yang diberikan kepada jemaah sepanjang berada di Tanah Suci. Caranya sangat mudah.
Gunakan kamera telefon atau aplikasi pengimbas QR untuk mengimbas kod QR yang terdapat pada kad Nusuk milik jemaah.
Selepas kod QR diimbas, satu paparan akan muncul pada pelayar internet (browser) telefon anda. Di situ akan tertera tulisan "Hajj Completion Certificate".
Pada bahagian atas paparan tersebut, terdapat butang berwarna hijau bertulis “View Certificate”. Tekan butang itu untuk melihat sijil haji anda.
Selepas sijil dipaparkan, jemaah boleh terus memuat turun dan menyimpan sijil tersebut sebagai simpanan peribadi.
Penggunaan sijil digital ini dilihat sebagai satu langkah yang sangat memudahkan urusan jemaah, selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Selain lebih cepat dan mudah diakses, ia juga membantu mengurangkan risiko kehilangan dokumen penting kerana semuanya boleh disimpan secara digital.
Bagi kebanyakan umat Islam, peluang menunaikan haji merupakan impian yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.
Ada yang menabung bertahun-tahun, menunggu giliran dengan penuh sabar dan berdoa agar diberi kesempatan menjadi tetamu Allah. Sebab itu, setiap memori sepanjang berada di Tanah Suci pastinya sangat bernilai.
Jadi kepada para jemaah haji tahun ini, jangan lupa semak kad Nusuk anda dan cuba sendiri cara mudah untuk mendapatkan sijil haji digital tersebut.