Lebih daripada dua tahun kita terperangkap dalam kehidupan wabak pandemik. Ada antara kita yang mengalami kelesuan upaya, berhenti kerja atau sedang bergelut untuk mendapatkan sesuap nasi. Hal ini disebabkan kadar inflasi pada masa kini seolah-oleh ‘telah menyedut’ sebahagian besar daripada pendapatan kita.

Walau bagaimanapun, ribuan penduduk di United Kingdom telah menjalani percubaan empat hari bekerja tanpa pemotongan gaji pada lapan minggu lepas. Percubaan itu dilihat akan membawa dunia pekerjaan kepada era baharu.
Ini merupakan percubaan yang terbesar bagi jadual empat hari berkerja setakat ini. Hasilnya buat masa ini, terdapat beberapa pekerja yang merasa lebih gembira, sihat dan melakukan pekerjaan mereka dengan lebih baik.
Program ini dikendalikan oleh 4 Day Week Global dengan kerjasama badan pemikir Autonomy, ahli akademik dari Universiti Oxford, Universiti Cambridge dan Kolej Boston di Amerika Syarikat (AS).
Pengkaji akan mengukur impak daripada corak pekerjaan baharu itu melalui pelbagai faktor. Antara faktornya seperti tahap produktiviti, kesamarataan jantina, persekitaran dan juga kebajikan pekerja. Pada akhir November, syarikat boleh menentukan sama ada untuk meneruskan jadual kerja baharu ataupun tidak.
‘Kehidupan Berubah’ sejak empat hari bekerja
Lisa Gilbert, seorang pengurus servis peminjaman di Charity Bank, juga dikenali sebagai salah satu pengurup wang yang sah di barat daya England, dia mengatakan bahawa rutin kehidupan baharu itu bersifat ‘luar biasa’.
“Saya boleh menikmati waktu hujung minggu saya dengan tenang sekarang. Hal ini disebabkan, saya boleh membuat perkara penting pada hari Jumaat. Jika saya perlu membawa ibu saya keluar berjalan-jalan, saya boleh melakukannya tanpa rasa bersalah,” dia memberitahu CNN Business.
Gilbert menjaga anaknya perempuannya bersama-sama kedua ibu bapanya. Satu hari cuti ekstra telah menyebabkan dia tidak lagi tergesa-gesa untuk membeli barangan dapur pada pukul 6 pagi pada hari Sabtu. Dia juga dapat meluangkan lebih banyak masa dengan orang yang tersayang. “Sekarang, saya boleh mengatakan ‘Ya’, bukan lagi sebaliknya,”

‘Agak Cacamerba’
Bagaimanapun, peralihan ini juga tidak dapat memuaskan hati semua pekerja. Samantha Losey, pengarah pengurusan di sebuah agensi perhubungan awam di London memberitahu CNN Business bahawa pada dua minggu pertama “agak cacamerba,” dengan pasukannya tidak bersedia untuk mengagihkan tugasan untuk jangka masa lebih pendek.
“Sejujurnya, dua minggu pertama semasa percubaan itu sangat serabut. Saya fikir saya telah membuat satu kesilapan besar. Saya tidak tahu apa yang saya lakukan,” katanya.
Walau bagaimanapun, pasukannya telah menemui jalan penyelesaian dengan cepat. Kini, syarikat mereka telah menyekat mesyuarat dalaman lebih daripada lima minit dan memastikan perjumpaan bersama pelanggan hanya dalam lingkungan 30 minit. Mereka juga telah memperkenalkan sistem ‘lampu isyarat’ untuk menghalang daripada sebarang gangguan.

Setiap pekerja akan memiliki satu lampu di atas meja mereka. Lampu tersebut boleh disetkan mengikut kadar kesibukan pekerja. Lampu hijau untuk tidak sibuk, lampu kuning untuk sedikit sibuk tapi masih boleh untuk diajak bercakap dan lampu merah untuk isyarat jangan diganggu.
Pada minggu keempat, Losey berkata bahawa pasukannya telah mencapai ‘landasannya’ semula. Walau bagaimanapun, dia mengakui bahawa kemungkinan dia akan mengembalikan semula jadual lima hari jika tahap produktiviti menurun sepanjang percubaan selama enam bulan.
“Ada 25 peratus peluang yang baik bahawa kami tidak akan dapat mengekalkannya, tetapi pasukan setakat ini sedang berjuang sangat keras untuk itu,” katanya.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, kita dapat melihat kebaikan dan keburukan daripada sistem empat hari bekerja ini. Secara positifnya, kita dapat melihat kebajikan pekerja semakin terjaga dari segi mental fizikal. Hal ini demikian kerana, mereka dapat meluangkan masa untuk bersenam, pergi kelas-kelas dan mencuba hobi baharu.
Kesan buruknya, apabila hari bekerja telah disingkatkan, pekerja perlu berkerja lebih keras untuk mencapai KPI (key performance index) yang ditetapkan oleh syarikat. Hal ini menyebabkan suasana tempat kerja menjadi senyap, seolah-olah duduk di dalam pejabat dan pekerja akan kurang berinteraksi dengan pekerja lain dan menyebabkan skil sosial mereka menurun.
