Siakap Keli
bayi maut marburg
Gambar: AFP via Africa News/BBC

Bayi Dijangkiti Virus Marburg Di Ghana Maut

Seorang bayi di Ghana dilapor meninggal dunia disebabkan terkena jangkitan virus Marburg yang mula merebak di negara itu baru-baru ini, lapor Africa News.

Difahamkan, pihak kesihatan Ghana memberi keterangan bahawa virus yang membunuh bayi itu dipercayai berasal daripada keluarga virus yang sama dengan Ebola.

Sementara itu, menurut laporan BBC, ibu bayi tersebut pula disahkan positif menghidapi wabak yang sama, bagaimanapun wanita itu masih hidup dan sihat seperti biasa setakat ini.

Maklum BBC, ibu bayi tersebut sudah diberi rawatan rapi di dalam sebuah pusat kuarantin di negara itu bagi mengelakkan virus berkenaan terus tersebar.

Selain itu, seorang pesakit separuh abad yang meninggal dunia kerana disyaki mengidapi jangkitan Marburg sebelum ini disahkan negatif virus tersebut.

Hal ini berikutan keputusan ujian yang menunjukkan lelaki berusia 51 tahun itu tidak menghadapi penyakit berkenaan, lanjutan daripada laporan tersebut.

Difahamkan, virus Marburg sangat mudah merebak dan simptomnya dipercayai mirip dengan Ebola seperti demam, tidak sedap badan, cirit-birit, muntah dan dalam beberapa kes, kematian berlaku disebabkan kehilangan darah yang terlalu banyak.

Ini merupakan kali kedua wabak Marburg telah dikenal pasti di zon Barat Afrika.

Terdahulu, merujuk kembali laporan berita sebelum ini, kemunculan virus Marburg di Ghana disahkan oleh pakar pada kira-kira dua minggu yang lalu.

Keratan laporan terdahulu

Dalam laporan itu, Ghana secara rasminya merekodkan dua kes pertama virus Marburg yang menyebabkan kematian dua individu di sebuah hospital di wilayah Ashanti Selatan.

Difahamkan, keputusan sampel ujian kedua-dua mereka dikatakan positif dan ia disahkan di oleh pihak makmal di Senegal ketika itu.

Dalam pada itu, menurut sumber pegawai kesihatan Afrika Barat, kira-kira 98 orang dikuarantin di sana kerana disyaki terlibat sebagai kontak rapat kes.

Tindakan pantas pihak kesihatan Ghana yang mengesan dan menjalankan beberapa langkah awal termasuk kuarantin itu mendapat pujian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Imbas kembali, satu kes berlaku di Guinea pada tahun lepas, namun wabak tersebut diisytiharkan tamat pada September tahun itu, iaitu bersamaan lima minggu selepas wabak itu dikesan.

Wabak Marburg dan kes sporadiknya sebelum ini telah dilaporkan di Angola, Kongo, Kenya, Afrika Selatan dan Uganda, menurut WHO.

Menurut WHO, virus itu pernah membunuh lebih daripada 200 orang di Angola pada 2005. Rekod tersebut menjadikan wabak Marburg dipercayai menjadi paling berbahaya.

BACA JUGA: Ghana Sahkan Kes Pertama Virus Marburg, Dua Pesakit Dilapor Meninggal Dunia Setakat Ini

Sumber: Africa News

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma