Siakap Keli
kes pertama virus Marburg
Gambar Via BBC/ The Guardian

Ghana Sahkan Kes Pertama Virus Marburg, Dua Pesakit Dilapor Meninggal Dunia Setakat Ini

Ghana telah merekodkan dua kes pertama virus Marburg iaitu penyakit berjangkit yang boleh membawa maut dan berada dalam kumpulan yang sama dengan virus yang menyebabkan Ebola.

Memetik laporan BBC, kedua-dua pesakit meninggal dunia baru-baru ini di hospital di wilayah Ashanti selatan.

Sampel mereka dikatakan positif pada awal bulan ini dan kini telah disahkan oleh makmal di Senegal.

Pegawai kesihatan di negara Afrika Barat itu berkata 98 orang kini dikuarantin kerana disyaki kes kontak rapat.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang menyokong pihak berkuasa kesihatan negara itu telah memuji tindak balas pantas Ghana.

“Ini sangat bagus kerana tanpa tindakan segera dan tegas, Marburg mudah terlepas dari kawalan,” kata Pengarah WHO di Afrika, Dr Matshidiso Moeti.

Sehingga kini, kaedah rawatan bagi virus tersebut masih belum wujud tetapi golongan doktor mengatakan bahawa meminum air dan merawat gejala tertentu meningkatkan peluang pesakit untuk terus hidup.

Virus ini dipercayai telah menular dari kelawar buah dan merebak antara manusia melalui cecair badan.

Menurut laporan, virus itu kebiasaannya akan membawa maut dengan gejala termasuk sakit kepala, demam, sakit otot, muntah darah dan pendarahan.

Berikutan itu, pegawai kesihatan memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan gua dan memasak semua produk daging dengan baik sebelum memakannya.

Untuk pengetahuan, ini adalah kali kedua Marburg ditemui di Afrika Barat. Pada tahun lepas, terdapat satu kes yang disahkan di Guinea tetapi wabak itu diisytiharkan berakhir pada September iaitu lima minggu selepas kes itu dikenal pasti.

Di tempat lain di benua itu, kes sporadik dan wabak itu telah dilaporkan di Angola, Republik Demokratik Congo, Kenya, Afrika Selatan dan Uganda.

Virus itu telah membunuh lebih daripada 200 orang di Angola pada tahun 2005 dan pertama kali berlaku di Jerman pada tahun 1967 di mana 7 orang meninggal dunia.

Sumber: BBC

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%

Sofea

There's always another side to every story