Siakap Keli
noh salleh mizz nina sah bercerai
Gambar: Kosmo/ mohammadnohbinsalleh

Noh Salleh, Mizz Nina Sah Bercerai

11 tahun layari bahtera rumah tangga bersama, pasangan selebriti, Noh Salleh, Mizz Nina sah bercerai

Teka-teki mengenai status rumah tangga pasangan selebriti, Noh Salleh dan Mizz Nina terjawab apabila Noh mengesahkan bahawa mereka telah bercerai.

Menerusi kenyataan di Instagram miliknya, Noh berkata mereka mencapai kata sepakat untuk berpisah selepas melakukan pertimbangan yang teliti.

“Saya dan Nina ingin mengumumkan sesuatu yang penting. Selepas berfikir sedalam-dalamnya, kami berdua telah bersetuju untuk berpisah.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan kami bersama selama 11 tahun yang cukup indah, yang penuh suka, duka dan cabaran,” katanya.

Dalam kenyataan tu, dia juga turut berterima kasih kepada semua yang telah menyokong dan menunjukkan kasih sayang kepada mereka berdua selama ini.

“Jangan risau, kami masih berkawan dan mendoakan yang terbaik untuk satu sama lain.

“Kita boleh merancang tetapi perancangan Allah lebih hebat,” katanya.

Tambahnya lagi, dia memohon doa dari orang ramai terutama dalam tempoh Iddah ketika ini dan menghargai semua orang yang menghormati privasi mereka.

Bagaimanapun, vokalis Hujan itu tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai butiran perceraian mereka.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa pasangan itu dipercayai telah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, semalam.

Sumber: mohammadnohbinsalleh

Sofea

There's always another side to every story