Siakap Keli
Treler rempuh 11 kenderaan
Gambar Via Kosmo

Treler Rempuh 11 Kenderaan, Pemandu Dipercayai Tak Sempat Tekan Brek

Treler Rempuh 11 Kenderaan, Pemandu Dipercayai Tak Sempat Tekan Brek

SHAH ALAM– Kira-kira 11 buah kenderaan dilaporkan telah dirempuh oleh sebuah treler dalam kejadian di Persiaran Tengku Ampuan pada Khamis.

Memetik laporan Kosmo, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan pemandu treler tidak sempat menekan brek.

Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.09 tengah hari itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, kejadian berlaku ketika semua kenderaan sedang berhenti menunggu lampu isyarat di persiaran tersebut.

“Namun, sebuah treler datang dari arah belakang secara tiba-tiba melanggar kereta di hadapannya.

“Kemalangan itu dipercayai melibatkan 11 kenderaan di lokasi tersebut dan tiada mangsa telah dilaporkan cedera,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati bahawa pemandu treler tidak sempat menekan brek ekoran kenderaan di hadapannya yang berhenti secara mengejut.

Hasil ujian air kencing ke atas pemandu treler itu juga didapati negatif dadah dan semakan mendapati bahawa dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

Sumber: Kosmo

Nurfatihah Shahirah Azzuddin