Siakap Keli
Lelaki Batal Niat Terjun Jambatan
Gambar: Kosmo!

Kenang Isteri Tengah Sarat Mengandung & Anak Kecil Di Rumah, Lelaki Batal Niat Terjun Jambatan

Mengenangkan isteri yang sedang sarat mengandung dan anak kecil di rumah, hasrat seorang lelaki yang berniat untuk terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu dalam satu kejadian semalam terpaksa dibatalkan, lapor Kosmo!.

Memetik laporan Kosmo!, difahamkan segalanya bermula apabila lelaki berumur 27 tahun itu mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya sebelum dipercayai tekad berada di lokasi berkenaan sejak 8 malam.

Bagaimanapun, tindakan lelaki tersebut berjaya dihidu oleh orang awam yang menghubungi pihak bomba dan polis sejurus melihat kereta jenis Perodua Myvi dipandunya tidak jauh dari situ, jelas Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim, Tengku Marzuki Tuan Mat.

Maklum Tengku Marzuki yang datang sendiri ke lokasi kejadian, ketika beliau cuba menghampiri dan memegang tangan lelaki itu untuk memujuknya, individu tersebut bagaimanapun bertindak agresif.

“Saya merayu agar dia berfikir panjang lebih-lebih lagi mengenangkan isterinya sedang mengandung dan anaknya yang masih kecil. Saya juga memaklumkan bahawa ramai yang sudah terkorban di Sungai Kelantan akibat terjun dari jambatan ini.

“Isteri lelaki itu turut hadir dan memujuknya, namun mangsa enggan menyerah malah memaklumkan wanita tersebut berbohong. Berdasarkan situasi itu, kemungkinan mereka berdua mempunyai masalah rumah tangga,” jelasnya kepada pemberita Kosmo!.

10 minit berakhir

Lelaki berkenaan bagaimanapun melupakan hasratnya itu selepas dipujuk selama 10 minit sebelum mengalah dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, maklum Tengku Marzuki lagi.

Dalam pada itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Darul Naim, Ahmad Fakruddin Berahim, pihaknya segera ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan individu terbabit yang nekad terjun ke dalam Sungai Kelantan selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.20 malam.

Tambahnya, dua bot turut digunakan oleh pihak bomba sebagai persediaan jika mangsa bertindak terjun dari jambatan itu.

Memetik laporan Kosmo! juga, bagi sesiapa yang mengalami masalah kemurungan atau tekanan, mereka boleh berhubung dengan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau di Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.

Sumber: Kosmo!

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?