Siakap Keli

Bekas Pengawal Keselamatan Sekolah Dibantu Dengan Faedah-faedah Perkeso

KLANG, SELANGOR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini  menyampaikan faedah kepada Orang Berinsurans (OB) yang mengalami kecederaan  putus kedua belah tangan (Bilateral Transradial Amputation) setelah diserang oleh  tiga (3) orang lelaki tidak dikenali di Klang, Selangor pada 3 Jun 2020. 

Kemalangan ngeri tersebut menyebabkan mangsa, S. Kubenthiran A/L Sathasivan, 24  tahun, tidak lagi mampu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Jenis  Kebangsaan Tamil Ladang Jalan Acob, sehingga kini. Sejak kemalangan tersebut juga,  rutin harian beliau seperti makan, minum, penggunaan tandas dan berpakaian turut  terjejas dan memerlukan bantuan sokongan daripada orang lain. 

Kes OB yang tular di media sosial turut mendapat perhatian Skuad PERKESO Prihatin bersama Pengurus Pejabat PERKESO Klang, Encik V. Mohanadas. Tindakan pantas  telah diambil dengan mendapatkan maklumat mengenai OB dan semakan mendapati  bahawa S. Kubenthiran mencarum dengan Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta  Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). 

Caruman yang dibuat OB memenuhi syarat kelayakan dan membolehkan beliau  menerima Faedah Perubatan dan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS). Atas  keprihatinan PERKESO juga, kes OB turut dirujuk ke Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun  Abdul Razak di Melaka, di mana OB telah diberikan rawatan rehabilitasi selama enam  (6) bulan bermula 18 Ogos 2021 sehingga 18 Mac 2022.

Rawatan berkonsepkan pengurusan hilang upaya menerusi Program Return To Work  (RTW) PERKESO ini turut merangkumi Kemudahan Pemulihan Jasmani dan  Vokasional seperti pemberian bekalan prostetik dan fisioterapi yang intensif kepada S.  Kubenthiran. Ia bermatlamat untuk membantu mengembalikan fungsi anggota badannya, 

sekaligus membolehkan beliau dapat kembali bekerja dengan lebih awal, sihat dan  selamat. Semua perbelanjaan kemudahan pemulihan ini ditanggung sepenuhnya oleh  PERKESO. 

Meskipun tidak lagi bekerja dan mencarum, PERKESO telah juga merujuk kes S.  Kubenthiran kepada Jemaah Doktor (JD) bagi pertimbangan untuk mendapatkan  Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK). Setelah siasatan dibuat, keputusan JD telah  memutuskan bahawa beliau layak menerima bayaran FHUK secara pukal iaitu sebanyak  RM117,344.81 untuk sekali bayar dan bayaran berkala kira-kira RM1,500 sebulan yang  akan dibayar untuk seumur hidupnya. 

Faedah tersebut telah disampaikan sendiri oleh Ketua Cawangan RTW PERKESO,  Puan Rosmawati Mat kepada OB di kediamannya di Kapar, Selangor, pagi ini. Hadir  sama menyaksikan penyerahan tersebut ialah Pengurus Pejabat PERKESO Klang, Encik  V. Mohanadas. 

Menurut Encik V. Mohanadas, PERKESO cukup prihatin dengan nasib malang yang  menimpa OB, lebih-lebih lagi apabila disahkan mengalami hilang upaya kekal. PERKESO  telah menyediakan bekalan tangan palsu buat OB bagi membantunya untuk menjalani  rutin harian seperti makan dan minum. Selain itu, OB juga dibantu dengan rawatan  pemulihan menerusi program RTW dan carian pekerjaan yang bersesuaian dengan  keadaan fizikalnya. 

Sementara itu, S. Kubenthiran telah menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada  PERKESO atas segala bantuan yang telah diberikan sejak dia ditimpa insiden tersebut.  Katanya, “Rawatan pemulihan yang diterima semasa berada di pusat rehabilitasi telah  banyak membantunya untuk segera pulih dan memberikan dia harapan serta motivasi  untuk terus hidup serta menjalani kehidupan seperti insan lain”.

FHUK adalah faedah tunai yang dibayar kepada pekerja yang mengalami hilang upaya  kekal akibat bencana pekerjaan dan disahkan oleh JD. Faedah Perubatan pula  menyediakan rawatan perubatan secara percuma kepada OB yang mesti diperoleh dari  Hospital Kerajaan, termasuklah rawatan pakar sekiranya perlu. 

Sementara itu, program pengurusan hilang upaya RTW PERKESO adalah satu program  pemulihan yang komprehensif dan berasaskan kaedah pelbagai disiplin (multi-disciplinary  approach) supaya bantuan pemulihan awal dapat diberikan dengan objektif membantu  pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk dipulihkan dan dapat kembali  bekerja secepat mungkin. 

PERKESO cukup prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh S. Kubenthiran dan berharap bantuan faedah dan sokongan yang diberikan ini dapat memulihkan semangat beliau sehingga mampu untuk berdikari semula. Keadaan dan perkembangan beliau juga  akan terus dipantau oleh Pengurus Kes PERKESO dari semasa ke semasa. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa