Siakap Keli
blackburn rovers sedia ruang solat
Gambar: Facebook Blackburn Rovers, Last Word on Sport via Google

Blackburn Rovers Sedia Imam, Ruang Khas Di Stadium Untuk Penyokong Muslim Solat Maghrib

Sebuah kelab bola sepak divisyen dua England, Blackburn Rovers Football Club (FC) menyediakan ruang solat serta imam bagi penyokong Muslim menunaikan solat Maghrib di Stadium Ewood Park.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik oleh kelab itu di Facebook, Blackburn Rovers menjelaskan bahawa mereka memahami tuntutan orang Islam yang perlu menunaikan solat Maghrib sebagai satu kewajipan.

Sehubungan itu, pihaknya telah menyediakan ruang khas di Jack Walker Stand sebagai tempat solat berjemaah. Tambahan pula, solat Maghrib itu akan didirikan secara berjemaah yang bakal diimamkan oleh pemegang tiket bermusim, Hafiz Zayd pada jam 8.55 malam (waktu sana).

blackburn rovers sedia ruang solat dan imam
Gambar: Facebook Blackburn Rovers

“Penyokong beragama Islam yang menghadiri perlawanan di laman sendiri menentang Hartlepool United Rabu ini, kami faham anda perlu menunaikan solat Maghrib pada jam 8:55 malam.

“Sila patuhi arahan daripada petugas kerana kami telah menyediakan ruang solat di Jack Walker Stand.

“Hafiz Zayd yang merupakan pemegang tiket bermusim, akan mengimamkan solat pada jam 8:55 malam,” maklum kenyataan itu di Facebook Blackburn Rovers.

Selain itu, bilik untuk pelbagai agama di Blackburn End juga terbuka kepada sesiapa dan bukan sahaja melibatkan perlawanan itu.

“Pihak Blackburn Rovers sangat memahami kewajipan solat fardhu terutamanya bagi penyokong (beragama) Islam kami. Mereka juga turut bertanggungjawab dan berbangga kerana dapat menyediakan peruntukan tersebut di Ewood Park.

“Semua orang Islam dewasa perlu menunaikan solat fardu lima kali setiap hari. Bagi penyokong Muslim kami, kami faham menunaikan solat adalah satu keperluan dan kami berbangga kerana dapat menyediakan peruntukan ini dalam sebarang acara di Ewood Park,” maklumnya di Facebook lagi.

Untuk makluman, tiket perlawanan Piala Carabao Blackburn Rovers menentang Hartlepool United di Ewood Park hanya RM54 bagi dewasa manakala kategori kanak-kanak pula hanya RM27. Pembelian tiket boleh dilakukan melalui pejabat dan secara dalam talian.

 

 

Kelab bola sepak mesra Muslim, pernah anjur solat hari raya

Mengimbas kembali laporan terdahulu, Blackburn Rovers juga pernah menganjurkan program solat hari raya Aidilfitri di stadium utama mereka, Ewood Park pada Syawal lalu.

Difahamkan, ia menjadi kelab bola sepak Inggeris pertama di UK yang membenarkan penganut beragama Islam mendirikan solat hari raya di stadium utama mereka sendiri.

Memetik kenyataan dari laman rasmi, program solat hari raya Aidilfitri Eid Prayers @ Ewood Park tahun ini diadakan di Corporation Park bermula dari 9 hingga 10 pagi.

Difahamkan, sambutan istimewa itu berjaya menarik lebih 1,000 tetamu Muslim untuk bersama-sama mendirikan solat sunat Aidilfitri di sana.

Sumber: Facebook BlackBurn Rovers

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?