Siakap Keli
cacar monyet
Gambar hiasan: TikTok/Utusan/Google

Pesakit Cacar Monyet Dikaitkan Dengan ‘Gay’, Doktor Tegur Tindakan Pengguna TikTok Beri ‘Komen’ Tanpa Empati

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Seorang pempengaruh TikTok yang sering menyiarkan kandungan mengenai perubatan, Dr. Hafeez tampil memberi teguran dan peringatan mengenai sikap segelintir warganet yang disifatkan tidak memiliki rasa empati terhadap pesakit yang menghidapi wabak cacar monyet.

Perkara ini bermula dengan satu klip video yang menjadi tular dalam laman TikTok. Dalam klip tersebut, terdapat keratan akhbar mengenai seorang pelakon video pornografi bagi hubungan homoseksual telah dijangkiti cacar monyet dan tidak dapat menahan sakitnya.

Namun, berita cacar monyet itu bukanlah perkara yang menarik perhatian doktor tersebut tetapi komen-komen yang dilontarkan oleh segelintir warganet yang disifatkan tiada sifat simpati terhadap insan yang dijangkiti wabak berkenaan.

Kredit: WHO

Dr. Hafeez teah memberikan respons bagi situasi tersebut melalui pandangan dari sudut perubatan. Pada asalnya, cacar monyet atau dikenali sebagai monkey pox merupakan satu penyakit yang disifatkan sinonim dengan golongan yang mengamalkan hubungan homoseksual. Hal ini disebabkan penyakit ini merebak melalui kontak rapat yang merupakan sebahagian daripada komuniti berkenaan.

Komen-komen yang disifatkan ‘meraikan’ penyebaran wabak itu dalam golongan tersebut telah menarik perhatian Dr. Hafeez seperti ucapan ‘Alhamdulillah, golongan ini dapat penyakit ini’ memaparkan sisi kurang baik sebahagian kita yang suka mengecam dan menjatuhkan hukuman terhadap golongan sebegini.

Seperti yang kita dapat lihat, ada segelintir warganet yang gemar memberi kutukan panjang berjela terhadap sesuatu perkara tanpa berfikir panjang, tetapi Dr. Hafeez telah memberikan satu peringatan menerusi video TikToknya. Katanya, senario cacar monyet ini kelihatan sangat mirip dengan kemunculan wabak AIDS pada 80-an.

Senario Cacar Monyet Kelihatan Seakan-akan Penyebaran AIDS

Menurut Dr. Hafeez, pada masa itu, ramai yang mengatakan bahawa wabak AIDS merupakan satu penyakit bawaan golongan yang mengamalkan hubungan sejenis. Masyarakat dunia pada masa itu juga berpendapat bahawa hanya golongan homoseksual sahaja yang akan dijangkiti penyakit tersebut.

Namun begitu, Dr. Hafeez meminta warganet untuk membuka mata dan melihat persekitaran pada masa sekarang. Bukan hanya golongan homoseksual yang mendapat penyakit ini, bahkan manusia yang mengamalkan hubungan heteroseksual, bayi, wanita juga boleh menghidapi penyakit AIDS.  Oleh itu, doktor tersebut merasa agak terpanggil untuk mendedahkan kebenaran dari sudut perubatan.

Kredit: World Aids Day

Pengamal Perubatan Tidak Boleh Bersifat ‘Judgemental’

Selain itu, Dr. Hafeez juga telah menerangkan bahawa tidak boleh ada stigma dalam bidang perubatan. Pihak perubatan tidak boleh melabelkan penyakit sebagai ‘milik’ golongan tertentu, sebaliknya menekankan bahawa penyakit adalah penyakit.

Staf perubatan juga perlu merawat semua jenis pesakit dengan layanan yang sama rata, tanpa ada rasa prejudis. Perkara ini juga terkandung dalam Sumpah Hippokrates yang perlu dipegang oleh setiap pengamal perubatan di seluruh dunia, katanya.

Kredit: The Edge Market

Bahaya yang dibawa oleh golongan MSM kepada masyarakat

Seterusnya, doktor ini juga memberi peringatan mengenai golongan MSM (Male have sex with male). Walaupun penyakit ini dilabel sebagai penyakit homoseksual, terdapat golongan yang boleh menyebarkan penyakit ini secara dalam diam. Dr. Hafeez mendakwa, dalam negara konservatif seperti Indonesia, Brunei termasuklah Malaysia, golongan MSM dipercayai telah wujud dalam komuniti konservatif secara senyap-senyap.

Berbeza dengan golongan homoseksual yang merupakan sebahagian daripada komuniti LGBT, golongan MSM ini tidak mengidentifikasi diri mereka sebagai golongan homoseksual ataupun biseksual, walaupun sudah banyak kali mengadakan hubungan seksual sesama jenis. Sebaliknya mereka akan memiliki pasangan sama jantina dan hubungan yang dijalinkan bukannya atas perasaan cinta atau naluri, tetapi berpaksikan nafsu semata-mata.

Golongan MSM ini memiliki persamaan dengan golongan swingers, yang mana mereka melakukan hubungan seks tanpa melibatkan apa-apa perasaan,  hanya untuk melempiaskan nafsu mereka semata-mata. Malangnya, anda tidak dapat mengesan golongan ini dengan mudah kerana mereka tidak memiliki ciri-ciri yang boleh dijadikan sebagai stereotaip.

Gambar: TikTok

Disifatkan sebagai api dalam sekam, berbeza dengan pembawaan yang dibawa oleh golongan homoseksual yang merupakan subkomuniti bagi LGBT, mereka akan mengakui orientasi seksual mereka dan dapat membantu pihak perubatan untuk memberikan rawatan dengan tepat.

Mereka yang terlibat dalam MSM pula tidak akan mengakui penglibatan mereka dalam hubungan homoseksual dan perkara ini telah merumitkan urusan pengamal perubatan dan mampu memberikan diagnosis yang tidak tepat.

Bahaya yang dibawa oleh golongan yang paling sukar dikesan ini adalah mereka mampu menyebarkan penyakit cacar monyet kepada masyarakat awam tanpa mengenal jantina, umur, agama dan bangsa. Perkara ini dapat dilihat melalui sejarah penyebaran wabak AIDS ke dalam komuniti tempatan.

Oleh itu, kita wajarlah berhati-hati ketika mengeluarkan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara dan lebih menzahirkan rasa empati untuk menunjukkan sifat kemanusiaan yang sewajarnya tidak boleh lari daripada naluri seorang manusia.

Sumber: @hafeezdru via TikTok

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma