Siakap Keli
Air hujan
Gambar via Connect for Water

Air Hujan Di Seluruh Dunia Kini Tidak lagi Selamat Untuk Diminum, Tinggi Bahan Kimia PFAS

Air hujan tidak kira di mana-mana kawasan di bumi ini didakwa sudah lagi tidak selamat untuk diminum kerana paras bahan kimia toksik yang dikenali sebagai PFAS yang melebihi garis panduan terkini, menurut kajian baru oleh saintis Universiti Stockholm. 

Memetik AFP, PFAS (per-and polyfluoroalkyl substances) adalah bahan kimia yang biasa ditemui di dalam syampu, bungkusan atau alat kosmetik yang juga dikenali sebagai ‘bahan kimia selamanya’ atau ‘forever chemicals’  kerana terurai dengan kadar yang tersangat perlahan kini sudah tersebar di dalam persekitaran, seperti air dan udara.

Menurut seorang profesor di universiti tersebut yang merupakan Ketua Pengarang Kajian yang diterbitkan dalam Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Ian Cousin berkata, tidak ada tempat di Bumi ini lagi yang air hujan selamat untuk diminum mengikut ukuran yang telah diambil. 

“Walaupun di Antartika atau dataran tinggi Tibet, paras air hujan melebihi garis panduan air minuman yang dicadangkan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat,” jelasnya.

Kandungan PFAS yang diukur daripada sampel air hujan yang diambil daripada dua tempat tersebut, yang selama ini dianggap sebagai sangat bersih, menunjukkan bacaan 14 kali ganda lebih tinggi daripada garis panduan air minuman Amerika Syarikat.

EPA baru-baru ini telah menurunkan garis panduan PFAS dengan ketara  selepas mendapati bahawa bahan kimia itu boleh menjejaskan tindak balas imun kanak-kanak terhadap vaksin. Jika termakan, PFAS akan terkumpul di dalam badan. 

Menurut beberapa kajian, pendedahan kepada bahan kimia ini juga boleh mempengaruhi tahap kesuburan, membantutkan pertumbuhan kanak-kanak, meningkatkan risiko obesiti atau kanser tertentu (prostat, buah pinggang dan testis) serta meningkatkan paras kolestrol. 

Kandungan PFAS di dalam persekitaran ini dilihat ‘akan berkekalan’ dan saintis bimbang ia mungkin tidak akan hilang dari dunia.

“Kita telah menjadikan planet ini tidak mesra kepada kehidupan manusia dengan mencemarkan alam sekitar sehingga ia tidak lagi bersih dan boleh diselamatkan.

”Manusia kini sudah melampaui sempadan yang ditetapkan dunia,” kata Cousin yang merujuk kepada paradigma asas mengenai kemampuan planet ini menyerap impak yang ditinggalkan manusia.

Walau bagaimanapun, Cousin berkata tahap PFAS dalam tubuh manusia sebenarnya semakin menurun dengan ketara sejak 20 tahun yang lalu, namun tahap ambien (PFAS pada alam sekitar) adalah sama selama 20 tahun yang lalu. 

”Apa yang berubah adalah garis panduan. Ia diturunkan berkali-kali sejak 2000-an, disebabkan kita semakin memahami bahaya PFAS”.

BACA: Lelaki Ditemui Mati Tergantung Dalam Rumah

Sumber: AFP

Faiz Mustafa