Siakap Keli

Bot Nelayan TFA 124 Karam Di Pulau Redang

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan bot nelayan bernombor pendaftaran TFA 124 terdiri daripada enam kru termasuk tekong dipercayai karam pada jam 10.00 malam, Isnin lalu.

Bot nelayan tempatan berdaftar itu difahamkan keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan pada hari yang sama.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Ramli memaklumkan, Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan SAR bermula semalam bagi mengesan bot tersebut.

Bot Maritim PERKASA 1234 digerakkan ke kawasan bot tersebut dilapor karam lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang.

Sehingga kini, seorang mangsa dilaporkan selamat iaitu Muhammad Kamaruddin bin Yudi, 31 tahun.

Memasuki hari kedua CARILAMAT, sektor pencarian diperluaskan hingga 242 batu nautika dan beberapa aset telah diatur gerak pada awal pagi tadi iaitu KM REDANG, pesawat udara BOMBARDIER CL 415 MP serta bot PERKASA 1234.

Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti nelayan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, dapat segera menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357 untuk membantu operasi.

Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Nur Farra