Siakap Keli
Kanak-Kanak Perempuan 7 Tahun Maut
Gambar via The Thaiger

Budak 7 Tahun Maut, Dipercayai Ditembak Sepupu 9 Tahun Guna Pistol Polis Disangka Mainan

Budak 7 Tahun Maut, Dipercayai Ditembak Sepupu 9 Tahun Guna Pistol Polis Disangka Mainan

Seorang kanak-kanan perempuan berusia 7 tahun maut dipercayai ditembak oleh seorang budak lelaki berusia 9 tahun dengan pistol milik seorang anggota polis di sebuah rumah di Daerah Mueng, Phuket, Thailand. 

Difahamkan, pegawai polis tersebut yang merupakan saudara kepada pemilik rumah tersebut terlupa bahawa dia telah meninggalkan sepucuk pistol yang mempunyai peluru di rumah itu. 

Memetik The Thaiger, kanak-kanak perempuan itu dihantar ke Hospital Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Phuket dengan kesan tembakan di bahagian dada.

Kemudian, pihak hospital dengan segera melaporkan hal tersebut kepada pihak polis. Walau bagaimanapun, kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia di hospital. 

Superintendan Balai Polis Mueng Phuket, Sarawut Chooprasert memaklumkan hal tersebut kepada pihak media bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar jam 11 pagi, 6 Ogos 2022, Sabtu. 

Menurut laporan, pemilik rumah tersebut merupakan seorang wanita berusia 37 tahun dan kanak-kanak perempuan itu ditembak oleh sepupu lelakinya yang berusia 9 tahun. 

Pemilik rumah berkata, semasa kejadian dia sedang mengadakan majlis doa selamat dan menjemput beberapa saudara mara untuk hadir. Ketika kejadian, semua orang dewasa sedang menjamu selera di tingkat satu manakala dua kanak-kanak itu bermain di tingkat dua. 

Budak lelaki itu dipercayai menemui sepucuk pistol di dalam almari sebuah di ruangan bilik utama dan membawanya keluar untuk bermain bersama kanak-kanak perempuan itu kerana menyangka ia hanyalah mainan. 

Menurut Sarawut lagi, budak lelaki itu tidak akan didakwa kerana masih di bawah umur 12 tahun mengikut undang-undang jenayah Seksyen 73. Keluarga kanak-kanak perempuan itu juga memahami dan tidak akan memfailkan sebarang laporan. 

BACA: Tak Tahan Selalu Dibuli & Didera, Wanita Tembak Mati Teman Lelaki

Sumber: The Thaiger

Faiz Mustafa