Siakap Keli
Wanita Tembak Teman Lelaki
Gambar via The Thaiger

Tak Tahan Selalu Dibuli & Didera, Wanita Tembak Mati Teman Lelaki

Tak Tahan Selalu Dibuli & Didera, Wanita Tembak Mati Teman Lelaki

Seorang wanita di Thailand dilaporkan menembak mati dipercayai teman lelakinya di depan seorang sami kerana tidak tahan sering menjadi mangsa dera. 

Menurut laporan The Thaiger, suspek menembak teman lelakinya beberapa kali di bahagian dada dan perut ketika mangsa sedang menawarkan sedikit makanan kepada seorang sami di Pasar Si Moom Mueng, Bangkok. 

Sebaik sahaja pihak polis tiba di lokasi kejadian, mereka menahan wanita tersebut bersama sepucuk pistol yang digunakan oleh suspek. Berdasarkan pemerhatian, terdapat dua kesan tembakan pada bahagian perut mangsa dan dua lagi di bahagian dada. 

Menurut suspek, dia dan teman lelakinya telah menjalinkan hubungan selama empat tahun namun masih belum berkahwin dan dikurniakan anak. 

Memetik The Thaiger, suspek mengaku menembak mangsa atas alasan sudah lagi tidak tahan kerana sering dibuli dan didera. Teman lelakinya itu juga sempat mengugut suspek ketika hari kejadian. 

Dalam pada itu, suspek juga berniat membunuh diri dengan pistol yang sama, namun dihalang oleh seorang wanita Laos yang bekerja di kawasan itu. Wanita berusia 27 tahun itu sempat merampas pistol dari suspek sebelum dia sempat berbuat demikian. 

Wanita Laos itu menjelaskan bahawa mangsa sempat menawarkan makanan kepada seorang sami sebelum dia ditembak di depan sami tersebut. 

Pihak polis masih belum mendakwa wanita itu, walau bagaimanapun, merujuk kepada akta Kesalahan Menyebabkan Kematian, Seksyen 288, sesiapa yang menyebabkan kematian orang lain akan dihukum mati atau dipenjarakan selama 15 hingga 20 tahun, lapor The Thaiger. 

Suspek juga mungkin akan didakwa atas kesalahan membunuh dengan niat, Seksyen 289 dengan hukuman mati kerana merancang sebelum pembunuhan.

BACA: Unik, Ganti Jubin Dengan Susunan Duit Syiling, ‘Deko’ Seakan Permaidani Mewah Curi Tumpuan

Sumber: The Thaiger

Faiz Mustafa