Siakap Keli
Kredit: Getty Images

NASA Kesan Asteroid Sebesar ‘Canary Wharf’, Dijangka Akan Langgar Orbit Bumi 22 Ogos Ini

NASA sedang memantau pergerakan batu itu ketika ia menghampiri atmosfera Bumi. Walaupun ia  hanya akan memecut untuk melintasi planet kita, badan angkasa tersebut telah menggelarkannya sebagai “Asteroid yang Memiliki Potensi Berbahaya”.

Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) sedang memerhatikan sebuah asteroid besar yang dianggap boleh melanggar orbit Bumi pada bila-bila masa sekarang, memetik laporan Daily Star.

Menurut sumber Agensi Pusat Kajian Objek Bumi Berdekatan NASA, batu angkasa itu dijangka hanya melintasi Bumi, tetapi amat diharapkan agar ia tidak  masuk ke atmosfera Bumi secara langsung.

Jelas NASA, asteroid gergasi itu dinamakan sebagai 2019 AV13, ditemui hanya sebulan yang lalu dan kini ia sedang menghampiri orbit Bumi.

Difahamkan, jika semuanya berjalan mengikut kiraan jangkaan NASA, asteroid itu akan melintasi Bumi pada jarak hanya 6.3 juta kilometer sekitar 22 Ogos nanti.

Bangunan Canary Wharf | Kredit: Getty Images

Bagaimanapun perkara yang lebih membimbangkan, batu angkasa gergasi itu bersaiz anggaran 100 sehingga 239 meter, iaitu hampir bersamaan dengan bangunan Canary Wharf di London, yang berketinggian 235 meter.

Sementara itu, Makmal Penggerak Jet (JPL) NASA pula mengklasifikasikannya sebagai ‘Asteroid yang memiliki potensi berbahaya’ kerana ramalan laluannya berdekatan dengan Bumi.

Selain itu, ada satu lagi asteroid dalam senarai NASA, iaitu 2019 PC juga dijangka melintasi Bumi dengan jarak yang begitu hampir pada 18 Ogos ini dan akan terus dipantau agensi berkenaan.

Walau bagaimanapun, apabila asteroid yang lebih kecil memasuki atmosfera Bumi dari angkasa, permukaannya akan menjadi panas dan menyebabkan ia lebur dan berpecah serta menjadikan saiznya lebih kecil.

Kredit: Getty Images

Ahli astronomi meteor daripada Institut SETI dan Pusat Penyelidikan Ames NASA, Peter Jenniskens berkata, “Kebanyakan meteorit yang jatuh memiliki pelbagai saiz dari sebesar limau gedang sehingga saiz kereta kecil.

“Batu sebesar itu tidak berputar cukup pantas untuk menyebarkan haba semasa melalui fasa meteor yang begitu singkat, dan kami kini mempunyai bukti bahawa bahagian belakangnya akan sampai ke tanah,”

Terdahulu, pada tahun 2008, asteroid bersaiz enam meter yang dipanggil sebagai 2008 TC3 telah dikesan di angkasa lepas selama lebih 20 jam sebelum ia memasuki atmosfera Bumi.

Lokasi terakhirnya terletak di padang pasir Nubia, Sudan, dengan ratusan serpihan yang memilik saiz tidak lebih daripada penumbuk manusia.

Sumber: Daily Star

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma