Siakap Keli
35mm ditayangkan republik czech
Kredit: FB Syahmi Sazli/Trammell Crow Company

Punyai Genre Perkenal Budaya Malaysia, Filem ’35MM’ Terpilih Ditayangkan Di Republik Czech

Youtuber terkenal tanah air, Syahmi Sazli memaklumkam bahawa filem terbaharu arahannya, 35MM terpilih untuk ditayangkan di sebuah festival filem di Republik Czech.

Informasi itu dimuat naik sendiri oleh beliau melalui laman Facebook rasmi, Syahmi Sazli Production yang menjelaskan khabar gembira tersebut.

“Alhamdulillah. Filem 35MM dipilih untuk tayangan ASEAN+3 Film Festival di Republik Czech. Semoga dipermudahkan,” tulisnya ringkas di Facebook hari ini.

Berdasarkan kenyataan itu, difahamkan pihak kedutaan republik itu memohon kerjasama pengarah muda itu untuk mempersembahkan 35MM dan sebuah lagi filem pendek di sana.

Jelasnya, pihak mereka melihat bahawa filem 35MM tersebut mengandungi nilai yang tersendiri dan mahu memberi pendedahan kepada rakyat Czech tentang budaya di Malaysia.

filem 35mm
Gambar: Facebook Syahmi Sazli Production

“Dalam hal ini, pihak kedutaan ingin mengangkat permohonan kolaborasi dengan pihak tuan untuk menayangkan filem ‘35MM‘ dan sebuah filem pendek yang telah memenangi anugerahdi Jepun baru-baru ini.

“Filem ini dilihat mempunyai genre yang menarik dalam mengetengahkan budaya dan susun atur Malaysia bagi mendidik kesedaran rakyat Czech mengenai Malaysia,” maklum kenyataan kedutaan itu, seperti yang dikongsi Syahmi.

Dalam pada itu, selain 35MM, pihak pejabat Kedutaan ACP di ibu negara Czech, Prague juga turut bakal menayangkan beberapa filem ternama dari negara lain iaitu Bad Genius ( Thailand), Yuni (Indonesia), Quezon’s Game (Filipina) dan The Great Myanmar (Myanmar).

Terdahulu, filem 35MM ditayangkan di saluran Astro First (480) pada 21 Jun lalu dengan menampilkan tiga watak utama iaitu Syahmi sendiri serta dua rakan layar peraknya, Yoe Parey dan Asif Suhaimi.

Menyentuh pada soal promosi, 35MM hadir ke pengetahuan ramai melalui posternya yang memaparkan kelibat tiga sahabat itu yang berlatarbelakangkan beberapa imej tertentu yang mencetus tanda tanya.

Selain Syahmi, Asif dan Yoe, di belakang mereka wujud kelibat seorang lelaki berpakaian Baju Melayu lama sambil memegang keris, seorang tentera Jepun berwajah ganas, dua lelaki berpakaian Cheongsam dan juga penampakan beberapa buah pesawat perang lama Jepun di udara.

filem 35mm
Gambar: Instagram Syahmi Sazli

Sekilas pandang, mungkin ada segelintir yang berpendapat bahawa filem 35MM merupakan karya berinspirasikan sejarah. Namun segala persoalan demi persoalan mula terjawab sejurus trailer mula didedahkan.

Tersesat ke zaman silam dari sebuah kamera lama

Menurut Syahmi, filem 35MM mengisahkan tentang tiga orang sahabat yang tersesat semasa menjelajah ke beberapa lapisan masa pada zaman dahulu.

Jelasnya, filem itu merupakan cetusan ideanya sendiri untuk membawa penonton mengimbau kembali kehidupan pada zaman dahulu ketika era penjajahan British, Jepun dan sebagainya.

Sebab itulah jika diperhatikan pada trailer, penonton disajikan beberapa babak yang dilangsungkan pada zon masa berbeza seperti zaman pemerintahan penjajah Jepun.

Sumber: Facebook Syahmi Sazli

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.