Siakap Keli
Seoul Haramkan Rumah Bawah Tanah
Gambar via Mothership

Seoul Haramkan Rumah Bawah Tanah ‘Parasite’ Selepas Keluarga Maut Terperangkap Banjir

Seoul Haramkan Rumah Bawah Tanah Selepas Keluarga Maut Terperangkap Banjir

Seoul akan mengharamkan jenis rumah separa bawah tanah selepas tiga sekeluarga dilaporkan maut pada Selasa lalu di rumah mereka selepas dinaiki air. 

Menurut The New York Times, keluarga tersebut terdiri daripada dua adik beradik perempuan berusia 40-an dan anak perempuan salah seorang wanita berusia 13 tahun. 

Difahamkan, mereka ada meminta bantuan disebabkan hujan lebat hingga air memenuhi ruang rumah di bahagian bawah tanah mereka. Namun, anggota penyelamat tidak berjaya memberikan bantuan kepada mereka. 

Menurut laporan, sekurang-kurangnya 11 individu dilaporkan maut dan hilang jejak akibat banjir akibat hujan lebat hingga memecahkan rekod paling lebat dalam tempoh 80 tahun di Seoul, lapor BBC. 

Rumah pangsa separa bawah tanah diharamkan

Rumah pangsa separa bawah tanah mungkin terkenal kerana pernah ditayangkan dalam sebuah filem bertajuk ‘Parasite’ pada tahun 2019 yang memenangi beberapa anugerah di Oscar termasuk Gambar Terbaik dan Pengarah Terbaik. 

Difahamkan, rumah ini biasanya disewakan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan terkenal dengan keadaan hidup mereka yang daif. 

Pegawai bandar tersebut berkata, mereka tidak akan lagi memberikan permit untuk pembinaan rumah bawah tanah atau separa bawah tanah dan akan berunding dengan pihak kerajaan untuk semakan semula undang-undang bangunan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaannya untuk tujuan kediaman. 

Mereka juga akan beri masa kepada pemilik rumah separa bawah tanah selama 20 tahun untuk menukar kegunaan kepada perkara lain selain dijadikan kawasan tempat tinggal. 

Dalam pada itu, sementara proses pengharaman rumah pangsa berpendapatan rendah ini bermula, pihak berkuasa merancang untuk bantu penyewa semasa berpindah ke kawasan perumahan sewa awam. 

Tiga sekeluarga terperangkap di dalam rumah

The New York Times melaporkan bahawa keluarga yang ditemui mati telag berpindah ke rumah tersebut sejak tujuh tahun yang lalu. 

Selain murah, rumah tersebut juga terletak berhampiran dengan pusat kebajikan masyarakat di mana bantuan disediakan untuk salah seorang wanita yang mengidap penyakit Sindrom Down. 

Ketika hujan melanda bandar itu, air mula mengalir masuk ke dalam rumah dengan begitu deras sehingga pintu-pintu tertutup dengan rapat, lapor jiran dan pegawai kecemasan. 

Difahamkan, mereka ada dengar salah seorang wanita yang berada di dalam rumah menjerit meminta tolong, jiran mereka cuba menghubungi talian perkhidmatan kecemasan.

Dalam pada itu, dua lelaki dari kawasan kejiranan ciba menyelamatkan keluarga tersebut dengan memecah masuk melalui tingkap paras jalan, namun dihalang oleh jeriji anti-kecurian. 

“Air memenuhi rumah dengan sangat cepat dan kami tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mereka,” kata salah seorang jiran yang berusia 52 tahun, lapor The New York Times. 

BACA: Jijik & Bau Busuk Meloyakan, Bungkusan Tulang Ayam ‘Misteri’ Ditemui Bersepah Tepi Jalan Di Jalan Lama Bukit Putus

Sumber: Mothership, The New York Times

 

Faiz Mustafa