Siakap Keli
Kerajaan Bakal Wujudkan Portal Aduan
Gambar via UTUSAN

Kerajaan Bakal Wujudkan Portal Aduan, Sasar Dapat Minimumkan Kes Buli Di Sekolah

Kerajaan Bakal Wujudkan Portal Aduan, Sasar Dapat Minimumkan Kes Buli Di Sekolah

PUTRAJAYA – Pihak kerajaan bakal mewujudkan satu portal khas untuk diakses oleh kesemua pelajar mahupun ibu bapa supaya dapat melaporkan sebarang kes pembulian secara terus yang berlaku di sekolah masing-masing, lapor Utusan.

Datuk Dr. Radzi Jidin selaku Menteri Kanan Pendidikan memberitahu, portal tersebut berperanan sebagai satu platform untuk ditinjau secara lengkap dan tersusun oleh pihak kerajaan supaya kes pembulian di institusi sekolah ini dapat dikurangkan ke paras yang minimum.

Beliau berkata, “menerusi portal ini, sebarang aduan berhubung kejadian buli dapat disampaikan menerusi emel, pelaporan pada sistem sedia ada atau melalui panggilan telefon”.

“Melalui portal ini juga, pengadu tidak perlu risau aduan mereka diketahui oleh orang lain kerana ia adalah sulit dan yang lebih penting setiap aduan disiasat kebenarannya,” ulas beliau.

Datuk Dr. Radzi Jidin turut menjelaskan, portal tersebut dianggar akan dilancarkan pada minggu hadapan serta menjadi salah satu inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai salah satu usaha tangani kes pembulian di sekolah.

Selain itu, beliau memberitahu usaha lain yang dibuat untuk mengurangkan kes buli di sekolah adalah dengan penubuhan jawatan kuasa yang dipengerusikan oleh Dr. Habibah Abdul Rahim iaitu bekas Ketua Pengarah Pendidikan.

“Jawatan kuasa ini melihat kepada penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam tatacara dan panduan sedia ada berkaitan buli di sekolah,” kata beliau.

Datuk Dr. Radzi Jidin menganggap, konsep Sekolahku Sejahtera yang dilancarkan oleh pihak kementerian sejak Februari lalu tertumpu dan memberi penekanan terhadap elemen-elemen untuk membina jati diri murid-murid.

Konsep itu tercipta untuk murid-murid di sekolah untuk mereka sedar bahawa mereka perlu sentiasa dapat membuat keputusan yang tepat terhadap diri mereka sendiri selain mengelakkan diri daripada terlibat dengan isu pembulian.

Melalui konsep ini juga, penekanan mengenai elemen selamat di sekolah mahupun elemen empati di dalam diri mampu mendidik anak-anak untuk sentiasa bersikap matang dengan pemikiran yang rasional.

“Kita boleh adakan pelbagai pemantauan namun jika jiwa dan pemikiran mereka belum jelas tentang sesuatu tindakan yang dilakukan, ia akan terus menyumbang kepada kes buli,” ulas beliau lagi.

Sumber: Utusan

Nurlizah Khazani