Siakap Keli
ibu bawa anak kecil fying fox
gambar hiasan

Enggan Bayar Kos Baiki Kereta, Lelaki Nekad Pukul, Toreh Muka Rakan 

Enggan Bayar Kos Baiki Kereta, Lelaki Nekad Pukul & Toreh Muka Rakan 

PETALING JAYA – Seorang lelaki telah bertindak luar kawalan dengan memukul dan menoreh muka rakannya disebabkan mangsa enggan membayar kos membaiki kerosakan kereta, lapor Utusan.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah padang bola jaring yang terletak di kawasan Merdeka Villa Ampang pada 10 Ogos yang lalu.

Rentetan dari kejadian itu, suspek yang berusia 24 tahun akhirnya telah ditahan di Semenyih, Kajang pada hari ini oleh pihak polis.

Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak selaku Ketua Polis Daerah Ampang Jaya berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 6 petang apabila mangsa telah dihubungi oleh teman wanita suspek untuk keduanya berbincang dan bertemu di padang bola jaring berkenaan.

Beliau juga melaporkan, mangsa dan suspek bertemu bertujuan untuk berbincang dan menyelesaikan masalah mengenai kereta mangsa yang mengalami kemalangan.

“Setiba sahaja di lokasi, mangsa dan suspek berbincang namun rakannya itu mengatakan tidak boleh membayar ganti rugi dan mengajak bergaduh,” lapor beliau.

“Secara tiba-tiba suspek terus cuba menumbuk dan menoreh muka mangsa dengan menggunakan pisau kecil,” jelas beliau lagi.

Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak juga menjelaskan, bertindak atas maklumat yang diterima, satu pasukan polis akhirnya telah melakukan serbuan di Semenyih, Kajang pada jam 2 pagi tadi untuk menahan suspek.

“Suspek menyatakan pisau lipat yang digunakan ketika kejadian dibuang di sekitar kawasan tempat kejadian ketika melarikan diri,” kata beliau.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah,” kata beliau lagi.

Menurut laporan juga, ujian awal saringan air kencing yang dibuat oleh suspek mendapati suspek disyaki positif dadah jenis THC.

“Punca pergaduhan itu adalah disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan suspek kerana suspek enggan membayar kos membaiki kereta,” ulas beliau.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” tambah beliau.

Sumber: Utusan

Nurlizah Khazani