Setiap kali berjaya mencapai sesuatu yang diimpikan, sudah tentu kita akan berasa gembira, lebih-lebih lagi apabila usaha selama ini akhirnya membuahkan hasil.
Perasaan itu pastinya lebih bermakna apabila kegembiraan tersebut turut dikongsi bersama insan di sekeliling, sama ada keluarga mahupun rakan sekerja.
Begitulah kisah yang dikongsikan pengguna Threads, @nrraelia, apabila seorang rakan sekerjanya berjaya membeli sebuah kenderaan selepas bekerja kurang daripada setahun.
Wanita Berjaya Beli Kereta Diraikan Rakan Sekerja

Dalam hantarannya, @nrraelia mengucapkan tahniah kepada rakan sekerjanya, Shafina, di samping turut memuat naik foto dan beberapa video.
“Kawan kita ambik kereta baru tak sampai setahun kerja, satu office turun congrats dia. Office dari syurga kan.
“Tahniah Shafina. Semoga kita semua pun dapat ambik kereta, Aminnn,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi beberapa video yang dikongsinya, kelihatan rakan-rakan sekerjanya berdiri di sekeliling kereta Shafina.
Beberapa rakan sekerjanya turut berdoa beramai-ramai agar dimurahkan rezeki dan berpeluang memiliki kenderaan sendiri suatu hari nanti.
“Ya Allah, Kau bantulah kami, setiap seorang daripada kami dapat keluarkan kereta sendiri Ya Allah,” ujar salah seorang daripada mereka sebelum diaminkan oleh rakan-rakan lain.
Gelagat mereka semakin mencuit hati apabila seorang daripada rakan sekerjanya cuba menaiki hud kereta milik Shafina, namun sempat dihalang oleh rakan yang lain.
Tindakan spontan itu mengundang gelak tawa dalam kalangan rakan sekerja yang turut menyaksikan gelagat berkenaan.
Dalam hantaran video seterusnya, Shafina berkata dia sangat gembira dengan pencapaiannya itu sehinggakan dia menitiskan air mata.
“Happy, happy, nangis happy,” katanya sebelum disambut dengan sorakan daripada orang ramai.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Shafina.



Sementara itu, menerusi laman Threads miliknya, Shafina turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerja dan ketuanya yang sentiasa memberikan sokongan.

“Alhamdulillah, pencapaian kedua selepas motor. Gembira bila dapat kawan dan ketua yang sentiasa menyokong. Satu pejabat turun nak raikan kita. Terima kasih semua,” tulisnya.

