Bekerja sepenuh masa sambil memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila turut mengejar kejayaan dalam bidang akademik.
Namun, perkara itu tidak menghalang graduan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Nik Muhammad Najib Nik Ab Aziz, 28, daripada mencapai impiannya.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, UMK berkongsi kejayaan Nik Muhammad Najib yang berjaya menggenggam gelaran Doktor Falsafah (PhD) pada usia muda.
Lebih membanggakan, beliau berjaya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh kira-kira satu tahun enam bulan sahaja di bawah bimbingan pensyarah FBI, Dr. Wan Ab Aziz Wan Daud.
Walaupun kini bekerja di Kuala Lumpur, Nik Muhammad Najib memilih untuk menyambung pengajian di UMK kerana lebih selesa menimba ilmu di negeri kelahirannya sendiri.
Nik Muhammad Najib Genggam PhD Dalam Tempoh 18 Bulan

Menurutnya, kemudahan perpustakaan, akses kepada bahan rujukan akademik yang luas serta sokongan ekosistem penyelidikan UMK banyak membantu sepanjang pengajiannya.
Anak kelahiran Kuala Krai itu yang juga merupakan bapa kepada seorang anak membuktikan bahawa tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya bukan penghalang untuk mencapai kejayaan akademik.
Bagaimanapun, beliau mengakui perjalanan menamatkan pengajian PhD bukanlah mudah kerana perlu membahagikan masa antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawab terhadap keluarga.
Antara cabaran yang dihadapinya termasuklah memastikan tanggungjawab terhadap isteri, Nur Athirah Ismah Zakariah, 28, dan anak mereka tetap terjaga sepanjang tempoh pengajian.
“Walaupun terpaksa berdepan tekanan, keletihan fizikal dan cabaran kesihatan, pemikiran yang positif menjadi benteng utama untuk saya bangkit melintasi garisan penamat,” ujarnya.
Susulan kejayaan itu, Nik Muhammad Najib merakamkan rasa syukur kepada isteri, ibu bapa, keluarga, penyelia serta pihak UMK yang banyak memberikan sokongan sepanjang pengajiannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas tajaan yang diterima menerusi Skim Pembiayaan Huffaz (SPH).
Bagi beliau, kejayaan memperoleh PhD bukanlah pengakhiran perjalanan, sebaliknya satu amanah untuk terus menyumbang dalam bidang akademik dan penyelidikan.
“Kejayaan PhD ini bukan satu penamat, sebaliknya sebuah amanah. Saya merancang untuk meneruskan kerjaya dalam bidang akademik dan penyelidikan serta memperbanyak penerbitan ilmiah pada masa akan datang.
“Saya berhasrat untuk menyumbang kepakaran dalam gabungan bidang bahasa Arab dan teknologi AI ini demi memberikan manfaat yang lebih besar kepada agama, masyarakat dan negara,” katanya.

Untuk rekod, Nik Muhammad Najib kini bertugas sebagai Penilai Data Digital / Pakar Bahasa Arab (Digital Data Reviewer / Arabic Language Specialist) di Accenture.
Selari dengan kerjayanya, beliau turut memberi tumpuan kepada kajian yang menggabungkan bidang bahasa Arab dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menerusi tesisnya, beliau mengkaji peranan kepercayaan dan persepsi risiko dalam mempengaruhi penerimaan teknologi terjemahan berasaskan AI dalam kalangan pelajar bahasa Arab di universiti tempatan.
Malah, beliau turut menerbitkan dua artikel ilmiah pada 2026 dalam jurnal Ijaz Arabi: Journal of Arabic Learning dan SIBAWAYH.

