Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jumpa Ular & Dikejar Anjing, Valtteri Bottas Kongsi Pengalaman Kayuh 419km Malaysia-Singapura

Bottas Kongsi Pengalaman Dari Malaysia Ke Singapura
Kredit: beIN Sports & tarmacsportsmy

Baru-baru ini, pemandu Formula 1 (F1) Cadillac, Valtteri Bottas mencuri perhatian apabila memilih untuk berbasikal dari Malaysia ke Singapura selepas tamat Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu lalu.

Bagaimanapun, Bottas mengakui dia tidak menyesal dengan keputusan itu kerana pengalaman berbasikal tersebut membolehkannya meneroka Malaysia dengan lebih dekat sambil menikmati suasana sepanjang perjalanan.

“Perjalanan itu satu pengembaraan dan saya sangat gembira kerana melakukannya. Dalam beberapa hari sahaja, saya dapat melihat hampir seluruh Malaysia, termasuk keindahan alam semula jadinya seperti hutan dan kawasan perladangan.

“Saya juga berbasikal pada waktu malam. Semuanya satu pengembaraan dan seperti yang saya katakan, saya gembira dapat berada di sini dengan selamat serta segala-galanya berjalan seperti yang dirancang,” katanya dalam satu temu bual.

Valterri Bottas Kongsi Pengalaman Dari Malaysia Ke Singapura

Malah, Bottas berkata pengalaman berbasikal pada waktu malam menjadi antara kenangan paling menarik sepanjang pengembaraannya itu.

Menurutnya, dia menghabiskan beberapa jam berbasikal pada penghujung hari sebelum meneruskan perjalanan pada waktu malam, ditemani cahaya lampu dan bunyi haiwan dari hutan.

Dia turut menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang mengujakan, lebih-lebih lagi apabila menerima sokongan daripada penduduk tempatan sepanjang perjalanan.

“Bila semakin ramai yang tahu mengenai pengembaraan saya, semakin banyak sokongan yang saya terima,” ujarnya.

Bottas menyifatkan warga tempatan di sepanjang perjalanannya sebagai sopan dan bertimbang rasa atas layanan yang sangat baik.

“Penduduk tempatan sangat baik sepanjang perjalanan saya. Malah, pemandu kereta di jalan raya juga sangat bertimbang rasa dan memberikan laluan dengan sopan.

“Menjelang penghujung perjalanan, terutama pada hari ketiga dan keempat, semakin ramai yang mengenali saya, memberikan sorakan serta bekalan air. Saya sangat menghargai layanan baik mereka,” kongsinya.

Dalam pada itu, Bottas berkata perjalanan berbasikalnya ke Singapura sudah dirancang lebih awal bagi memastikan keselamatannya dan dia sempat berehat sebelum perlumbaan hujung minggu.

Menurutnya, dua warga tempatan membantunya merancang laluan serta jarak perjalanan setiap hari supaya dia mempunyai masa mencukupi untuk memulihkan tenaga.

Malah, salah seorang daripada mereka turut berbasikal bersama Bottas pada waktu tertentu, manakala selebihnya dia meneruskan perjalanan sendirian dengan kenderaan sokongan sentiasa berada tidak jauh daripadanya.

Bottas turut berpeluang melihat beberapa haiwan liar sepanjang perjalanan, termasuk ular tedung, ular sawa dan biawak bersaiz besar.

Bukan itu sahaja, dia juga sempat dikejar seekor anjing ketika berbasikal, namun bersyukur kerana kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

“Saya jumpa beberapa ular, satu ular tedung, satu ular sawa dan beberapa biawak yang besar.

“Pernah sekali, saya terpaksa melompat bersama basikal untuk mengelak seekor biawak sebab saya baru perasan haiwan itu pada saat-saat akhir,” katanya.

Bagaimanapun, pengalaman berdepan situasi mencemaskan sepanjang perjalanan tidak membuatkan Bottas menyesal dengan keputusannya untuk berbasikal ke Singapura.

“Ada juga saat yang agak mencemaskan, terutama ketika berbasikal pada waktu malam kerana lampu yang digunakan kecil dan saya tak dapat melihat terlalu jauh.

“Saya tak tahu apa yang ada di hadapan atau di dalam hutan. Namun, saya berjaya mengatasi ketakutan itu, jadi saya sangat gembira kerana memilih untuk berbasikal ke sini.

“Perjalanan itu memang satu pengembaraan dan saya dapat melihat banyak perkara,” katanya.

Buat masa ini, Bottas belum merancang untuk mengulangi pengalaman berbasikal jarak jauh seperti itu, namun dia tidak menolak kemungkinan tersebut pada masa akan datang.

“Buat masa sekarang, belum lagi, tetapi kita tengoklah nanti. Tak mustahil saya akan melakukannya lagi jika ada peluang menarik.

“Cuma, perkara paling penting ialah memastikan semuanya dirancang dengan baik supaya saya sempat berehat dan memulihkan tenaga sebelum perlumbaan di hujung minggu” katanya.

Sumber:Facebook
Intipati
  • Valtteri Bottas gembira berbasikal dari Malaysia ke Singapura selepas tamat Grand Prix Bahrain.
  • Beliau menikmati suasana malam, alam semula jadi dan sokongan penduduk tempatan sepanjang perjalanan.
  • Bottas turut melihat ular, biawak besar dan sempat dikejar anjing tanpa kecederaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan