Siakap Keli
selesema tomato kini menular di India
Gambar: Daily Mail/ Outlook India

Doktor Beri Amaran, Virus Baharu Dikenali Sebagai ‘Selesema Tomato’ Kini Menular Di India

Doktor Beri Amaran, Virus Baharu Dikenali Sebagai ‘Selesema Tomato’ Kini Menular Di India

Amaran mengenai virus baharu yang menyebabkan ‘selesema tomato’ telah dikeluarkan oleh doktor-doktor selepas ia menjangkiti 82 orang kanak-kanak di India setakat ini.

Memetik laporan NDTV, selesema tomato dipercayai merupakan penyakit tangan, kaki dan mulut jenis baharu dan kebanyakan kes telah dikesan di daerah Kerala dan Odisha.

Ia pertama kali dilaporkan di Kollam serta kebanyakannya melibatkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

“Seiring dengan kemungkinan kemunculan gelombang keempat COVID-19, virus baharu yang dikenali sebagai selesema tomato atau demam tomato telah muncul di negeri Kerala, India yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun,” kata laporan menerusi Lancet Respiratory Journal.

Menurut laporan, penyakit berjangkit tersebut adalah disebabkan oleh virus usus dan jarang berlaku pada orang dewasa kerana mereka biasanya mempunyai sistem imun yang cukup kuat untuk mempertahankan diri daripada virus.

Gejala selesema itu termasuklah demam panas, sakit badan, bengkak sendi dan keletihan sama seperti chikugunya.

Malah, ada sesetengah pesakit yang mengalami loya, muntah, cirit-birit, demam, dehidrasi dan sakit badan.

Sementara itu, antara kawasan lain yang terjejas di Kerala adalah di Anchal, Aryankavu dan Neduvathur.

Lancet juga melaporkan bahawa kemunculan penyakit ini mencetuskan amaran di negeri jiran iaitu di Tamil Nadu dan Karnataka.

“Selain itu, 26 kanak-kanak yang berumur antara setahun hingga sembilan tahun di Odisha telah dijangkiti virus tersebut. Sehingga kini, selain Kerala, Tamil Nadu dan Odisha, tiada wilayah lain di India telah terjejas oleh virus itu,” kata laporan itu.

Di samping itu, pakar kesihatan juga mengatakan bahawa ia adalah penyakit yang tiada ubat khusus untuk merawatnya dan memberi amaran bahawa jangkitan itu merebak dengan sangat pantas.

BACA: Bayi Dijangkiti Virus Marburg Di Ghana Maut

Sumber: NDTV

Sofea

There's always another side to every story