Siakap Keli
selebriti rokok
Gambar: Bernama/petikan video tular

Pegang Objek Dipercayai Rokok Atas Pentas, Noor Hisham ‘Tegur’ Tingkah Laku Selebriti

Pegang Objek Dipercayai Rokok Atas Pentas, Noor Hisham ‘Tegur’ Tingkah Laku Selebriti

Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius terhadap isu berkaitan mana-mana selebriti yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai dan di pentas persembahan.

Ketua pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan, perbuatan tersebut menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling, terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja.

“Dari sudut kesihatan, perbuatan merokok atau menghisap vape sememangnya mendatangkan kemudaratan baik kepada perokok dan orang di sekeliling mereka.

“Sebagai seorang selebriti, tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan akan menjadi ikutan.

“Oleh itu, sebagai selebriti mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan tingkahlaku yang baik yang boleh menjadi teladan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, tambah Noor Hisham, hal tersebut juga adalah selaras dengan hasrat KKM untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Jelasnya, ia adalah bagi memastikan supaya kawalan terhadap produk merokok secara komprehensif dapat dilaksanakan bagi mengekang masalah merokok di kalangan masyarakat di negara ini.

“KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?