Pemuda UMNO menempelak tindakan Ketua PKR Cabang Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan yang didakwa menggunakan isu titah diraja sebagai bahan jenaka politik.
Exconya, Fadzmel Fadzil berkata, seseorang pemimpin politik tidak sepatutnya menjadikan perkara berkaitan institusi diraja sebagai bahan sindiran atau jenaka.
Menurutnya, perbincangan mengenai institusi diraja memerlukan ketelitian dan kebijaksanaan, bukannya sekadar menyusun sindiran untuk mencetuskan gelak tawa.
“Datuk Afdlin Shauki, titah bukanlah ‘meter elektrik’ atau apa pun yang Datuk cuba sampaikan kepada kami. Percayalah, bukan semua perkara perlu dijadikan bahan lawak.
“Membicarakan institusi diraja menuntut ketelitian dan hikmah, bukan sekadar keseronokan menyusun sindiran dan ‘punchline’ bahan jenaka.
“Datuk sendiri mengakui kedua-dua isu mempunyai fakta dan proses undang-undang yang berbeza.
“Maka, perbezaan itulah yang perlu dijelaskan sebelum membuat kesimpulan kononnya UMNO mempunyai ‘setting derhaka’ mengikut kepentingan parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Afdlin Shauki memuat naik imej berbentuk kartun satira bersama hantaran yang menyindir pemimpin UMNO berhubung isu titah diraja.
Menerusi hantaran itu, beliau mempersoalkan kewujudan ukuran berbeza dalam menentukan tahap kederhakaan berdasarkan pendirian pemimpin sesebuah parti.
Dalam hantaran berkenaan, Afdlin Shauki membandingkan pendirian Pemuda UMNO Negeri Sembilan yang menolak label derhaka sebagai manipulasi politik dalam isu membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dengan reaksi pemimpin UMNO berhubung penangguhan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pendirian yang diambil berasaskan prinsip perlembagaan atau kepentingan pihak tertentu.
Mengulas lanjut, Fadzmel yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa berkata, UMNO sentiasa memberikan penerangan mengenai pendirian parti dalam isu Negeri Sembilan.
Katanya, penjelasan itu turut merangkumi cara UMNO menguruskan tanggungjawab menjunjung institusi diraja dan adat, selaras dengan prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan parti.
Beliau turut menjelaskan bahawa struktur adat di Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza daripada negeri-negeri Melayu lain, selain menegaskan pendirian UMNO untuk terus memeliharanya.
“Namun, dalam isu Datuk Seri Najib, saya tidak melihat kepimpinan parti Datuk Afdlin benar-benar tampil memberikan penerangan mengenai keputusan Peguam Negara, khususnya ketika ia telah menimbulkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.
“Daripada mengheret UMNO ke dalam sindiran, sebaiknya Datuk jelaskan keputusan tersebut dan bagaimana perkara ini diuruskan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
“Ini bukanlah isu Datuk Seri Najib semata-mata, tetapi sudah menjadi isu kerosakan struktur Perlembagaan. Jika tafsiran pegawai undang-undang boleh menyekat titah kurnia Yang di-Pertuan Agong, maka sudah tentu ia akan menjadi duluan yang merosakkan,” katanya.

