Siakap Keli
mabuk pecah cermin kereta
Gambar: petikan video tular

Adik Mabuk, Cermin Kereta Abang Jadi Mangsa

Gara-gara si adik dikatakan sedang berada dalam keadaan mabuk, tidak pasal-pasal cermin kereta milik abang pula yang jadi mangsa kena pecah.

Sebuah kereta yang menjadi mangsa cerminnya dipecahkan oleh seorang lelaki di parkir Pangsapuri Sri Perak, Sentul seperti yang tular baru-baru ini rupanya milik abang lelaki itu sendiri.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berkenaan insiden cermin kereta miliknya dipecahkan oleh adiknya yang berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Jelas Beh Eng Lai, siasatan pihak polis mendapati kejadian tular tersebut berlaku pada 25 Ogos baru-baru ini sekitar pukul 5:17 petang.

“Suspek yang berumur 24 tahun merupakan adik kepada pengadu telah bertindak memecahkan cermin kereta dengan membaling objek dipercayai batu.

“Selain itu, suspek juga telah mematahkan pemegang pintu kereta dan mencabut bilah penggelap cermin (wiper) hadapan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, menurut Beh Eng Lai, suspek yang bertindak sedemikian telah melarikan diri dan kini sedang dalam penjejakan pihak polis buat masa ini.

Manakala kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,” tambahnya.

Tular & banyak teori muncul

Terdahulu, tular di media sosial hari ini klip video berdurasi satu minit 25 saat yang memaparkan tindakan ganas seorang lelaki (suspek)  memecahkan cermin sebuah kereta di tempat parkir.

Video tersebut turut meraih perhatian ramai hingga ada segelintir warganet ‘mencipta’ pelbagai teori dan persepsi masing-masing berdasarkan apa yang mereka lihat.

Antara yang menarik perhatian adalah segelintir warganet menyangka dan mendakwa punca kejadian adalah disebabkan kereta itu kelihatan diparkir hingga melebihi kotaknya.

Tidak kurang juga, ada segelintir warganet turut mendakwa bahawa suspek bertindak sedemikian adalah kerana kereta tersebut dikatakan tersalah parkir hingga menghalang laluan motosikal untuk keluar dari situ.

Bagaimanapun segala persoalan dan teori tersebut nampaknya sudah terjawab sejurus kenyataan rasmi daripada pihak polis dikeluarkan seperti yang dilapor hari ini.

Sumber: FB Polis Sentul

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'