Siakap Keli
biasiswa bawah kpm
Gambar: Bernama

Berita Baik Buat Bakal Guru, Ini Lima Program Tajaan Biasiswa Di Bawah KPM

Berita baik buat semua bakal guru yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi, ini adalah lima jenis program tajaan biasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kementerian Pendidikan Malaysia menawarkan beberapa tawaran biasiswa kepada sesiapa yang ingin melanjutkan pengajian pada peringkat siswazah mahupun pascasiswazah. Terdapat juga biasiswa yang bersifat khusus mengikut jenis pengajian mahupun kursus. Perkara ini mampu mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh insan-insan yang kurang bernasib baik.

Melanjutkan pelajaran ke bidang tertiari merupakan impian bagi para remaja, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, tidak semuanya dilahirkan dalam suasa serba lengkap. Ada yang memandang pengajian peringkat siswazah ini sebagai satu benda yang ‘mewah’ dan terpaksa melepaskan impian mereka begitu sahaja.

Kini, terdapat banyak jenis tawaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan anak-anak ini masih dapat menimba ilmu di menara gading. Yang lebih menarik, terdapat biasiswa yang ditujukan khas kepada sesiapa yang ingin menjadi warga pendidik.

Jadi dalam artikel kali ini, Siakap Keli ingin berkongsi tentang jenis-jenis tawaran biasiswa yang disediakan kerajaan khas untuk pelajar yang bakal mengambil jurusan pendidikan di universiti kelak. Segala maklumat adalah dipetik daripada laman portal KPM sendiri.

Mari kita lihat senarai tawaran biasiswa yang disediakan kerajaan seperti berikut.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

1.0 Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) 

Namanya sudah jelas menunjukkan siapa sasaran pemohonnya. Tujuan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) adalah untuk mempersiapkan pegawai-pegawai yang berkebolehan dan berkelayakan untuk dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah KPM berdasarkan unjuran keperluan bidang. Biasiswa ini dibuka kepada pelajar Universiti Awam (UA) yang mengambil jurusan pendidikan dan memenuhi syarat permohonan.

Syarat-syarat permohonan serta kelayakan

Bagi biasiswa ini, calon mestilah seorang warganegara Malaysia dan usia tidak melebihi 25 tahun pada 1 Januari tahun permohonan. Selain itu, calon perlu memiliki Sijil Penuh bagi SPM untuk melayakkan lantikan ke perkhidmatan awam termasuk kepujian dalam Bahasa Melayu dan Ujian Lisan pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

Seterusnya, calon yang memohon perlulah sedang mengikuti pengajian tahun pertama di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan dan perlu mendapat sekurang-kurangnya PNGK 3.5 dan ke atas bagi keputusan semester terkini. Individu-individu yang menepati kriteria dan berkelayakan sahaja akan dipanggil untuk menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) dan menghadiri sesi temu duga.

Bagi calon yang berjaya ditawarkan biasiswa KPM, mereka perlu melepaskan tajaan yang sedia ada. Perlu diingati, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) tidak layak memohon biasiwa ini. Pelajar tajaan juga perlu lulus proses temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk dilantik ke dalam perkhidmatan awam

Secara umumnya, pelajar tajaan terikat dengan kontrak perkhidmatan dengan KPM selama empat tahun sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan setelah tamat pengajian dalam tempoh ditetapkan.

Bagi sesiapa yang berminat, anda boleh memohon biasiswa ini secara atas talian melalui laman sesawang KPM (https://epenawaran.moe.gov.my),  bergantung kepada tempoh yang diiklankan pada tahun semasa.

Berikut merupakan perincian bagi biasiswa tersebut:

Kredit: KPM

Akhir kata, tajaan biasiswa ini adalah bertujuan untuk melahirkan warga pendidik yang berbakat. Tugas pendidik ini bukanlah mudah kerana ia memegang kunci penting dalam meningkatkan tahap pemikiran masyarakat Malaysia. Semoga impian anda untuk menjadi seorang pendidik tercapai dan jadilah seorang guru yang baik.

2.0 Program MYBRAIN15

Program Biasiswa MyBrain15 ditawarkan untuk pengajian peringkat sarjana (master) dan ijazah kedoktoran (Ph.D termasuk industri) dalam pelbagai bidang di universiti awam (UA) di dalam negara.

Walau bagaimanapun, penawaran terakhir Program MyBrain15 adalah pada November 2016 dan kementerian masih meneruskan pembiayaan sejumlah 1,606 orang pelajar MyBrain15 yang masih aktif sehingga tamat tempoh penajaan pada tahun 2023.

Walaupun tawaran baharu Program MyBrain15 ditangguhkan pada masa ini, namun kementerian masih meneruskan pemberian Fundamental Research Grant Scheme (FRGS). Geran tersebut ditawarkan kepada semua universiti awam (UA) di Malaysia. Dana skim ini untuk tahun 2018 adalah sejumlah RM200 juta manakala untuk tahun 2019 pula ditambahkan sebanyak RM75.35 juta menjadikan keseluruhannya RM275.35 juta.

Pemberian geran penyelidikan ini dilihat mampu untuk melahirkan pemegang Sarjana dan Ph.D secara lebih bersasar, di mana penyelia projek iaitu di kalangan profesor, pensyarah yang memantau supervisee atau pelajar seliaan mereka akan dipantau dengan lebih dekat melalui perkembangan projek penyelidikan. Ini seterusnya akan membantu melahirkan graduan dalam tempoh pengajian seperti yang ditetapkan dalam surat tawaran universiti.

3.0 Program MYBRAINSc

Selain itu, KPM turut menawarkan tajaan Biasiswa Program MyBrainSc yang merangkumi pelbagai peringkat pengajian bermula dari ijazah pertama sehingga peringkat Ph.D bagi memenuhi keperluan bidang sains tulen.

Permohonan biasiswa ini dibuka setahun sekali menerusi laman web rasmi kementerian dan permohonan hendaklah dibuat secara atas talian mengikut tempoh yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

Dari segi kelayakan, ia terbuka kepada warganegara Malaysia yang mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama dan pasca ijazah sepenuh masa dalam bidang sains tulen (fizik, kimia, matematik dan biologi) di IPTA atau universiti terkemuka dunia atau bertaraf ivy league.

Maklumat berkaitan dengan program MyBrainSc boleh dilayari di laman sesawang MyBrainSc di https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrainSc/

4.0 Program MALAYSIA INTERNATIONAL SCHOLARSHIP (MIS)

Malaysia International Scholarship (MIS) merupakan satu insiatif kerajaan Malaysia untuk menarik pelajar-pelajar dari seluruh pelosok dunia bagi melanjutkan pelajaran dalam peringkat pascasiswazah di Malaysia. Biasiswa ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai salah satu pusat kecemerlangan akademik global dengan menarik, bermotivasi dan  memupuk insan berbakat dari luar negara.

Biasiswa ini terhad kepada negara-negara yang telah menandatangani memorandum persefahaman (memorandum understanding atau MoU) dengan Malaysia dan mempunyai hubungan diplomatik dengan negara ini. 

Bidang yang ditawarkan untuk biasiswa ini sangat luas seperti sains dan kejuruteraan; pertanian dan perikanan; ekonomi dan kewangan Islam; ICT; bioteknologi; biosekuriti dan keselamatan makanan; infrastruktur dan utiliti; pengajian alam sekitar dan kesihatan (tidak termasuk kejururawatan, perubatan & farmasi klinikal).

Bagaimanapun, disebabkan biasiswa ini ditujukan kepada pelajar antarabangsa, biasiswa ini hanya boleh boleh dimohon secara atas talian sahaja. Difahamkan, mengenai perjanjian bersama IDB-MOHE, pihak KPM hanya menaja yuran pengajian pelajar sahaja.

Gambar hiasan | Kredit: PPI

5.0 Program Penghantaran Pelajar Cemerlang (PPC)

Program Penghantaran Pelajar Cemerlang (PPC) adalah tajaan biasiswa penuh daripada KPM kepada pelajar cemerlang lepasan SPM dan matrikulasi yang ingin menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama di luar negara mengikut syarat yang ditetapkan. Khususnya bagi memenuhi keperluan perkhidmatan keguruan di KPM setelah pelajar tamat belajar kelak.

Untuk tahun 2019, bidang-bidang yang ditawarkan dalam program PPC adalah terbahagi kepada yang berikut:

PPC Lepasan Matrikulasi: Bidang yang ditawarkan adalah semua bidang yang termasuk dalam kategori Science, Technology, Engineering & Mathematics (STEM).

PPC Pendidikan Islam: Bidang yang ditawarkan adalah bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Calon-calon yang berminat untuk memohon penajaan di bawah program ini hendaklah daripada kalangan pelajar lepasan SPM (bagi program PPC Pendidikan Islam) dan pelajar lepasan matrikulasi (bagi program PPC Matrikulasi). Calon-calon juga mestilah memenuhi syarat kelayakan permohonan seperti berikut:

Syarat kelayakan PPC Matrikulasi:

  • warganegara Malaysia;
  • memperolehi PNGK 3.5 dan ke atas dalam Peperiksaan Semester 1 Program Matrikulasi (PSPM);
  • memperoleh gred A bagi mata pelajaran dalam bidang pengajian yang dipilih dalam PSPM;
  • memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM;
  • memperolehi sekurang-kurangnya Band 4 dalam Malaysian University English Test (MUET);
  • dan memperoleh keputusan minimum B bagi Bahasa Inggeris 1119 dan English GCE-O Level di peringkat SPM dan skor 6.5 bagi IELTS.

Syarat Kelayakan PPC Pendidikan Islam:

  •  warganegara Malaysia
  •  umur tidak melebihi 20 tahun pada tahun permohonan;
  •  sihat tubuh badan; d) aktif dalam kegiatan kokurikulum;
  • lulus SPM dalam aliran agama dengan memperoleh sekurang-kurangnya tujuh (7) gred cemerlang.

Keutamaan diberikan kepada calon-calon yang memperoleh gred cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

Dalam masa sama, keutamaan turut diberikan kepada pelajar lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) dan Sekolah Menengah Harian yang mengikuti Kelas Aliran Agama (KAA).

Struktur pengajian yang ditawarkan dalam program PPC ini adalah seperti butiran berikut:

PPC Lepasan Matrikulasi: Satu (1) bulan persediaan di Malaysia, tiga (3) tahun di peringkat ijazah pertama di luar negara & 18 bulan di peringkat Diploma Pascasiswazah Pendidikan.

PPC Pendidikan Islam: Satu (1) bulan persediaan di Malaysia, empat (4) tahun di peringkat ijazah pertama di luar negara & 18 bulan di peringkat Diploma Pascasiswazah Pendidikan.

Mengenai kontrak, bagi calon-calon yang berjaya ditawarkan penajaan dan bersetuju untuk ditaja, mereka perlu berkhidmat dengan kerajaan di bawah Skim Perkhidmatan Perguruan setelah tamat pengajian. Tempoh ikatan kontrak bersama kerajaan adalah selama lapan tahun dan pelanggaran kontrak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan perjanjian dengan bayaran ganti rugi kos sebenar.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Apakah pelajar boleh menukar kursus, bidang atau universiti tanpa membatalkan penajaan? Jawapannya, TIDAK. Sebarang pertukaran kursus, bidang atau universiti adalah tidak dibenarkan tanpa kelulusan daripada KPM terlebih dahulu. Permohonan haruslah dilakukan atas sebab-sebab yang kukuh dan munasabah.

Ini berikutan objektif asal penajaan PPC bagi memenuhi unjuran keperluan keguruan di KPM dan perubahan yang dibuat oleh pelajar pastinya akan menjejaskan perancangan awal kementerian. Penamatan dan tindakan penguatkuasaan perjanjian boleh dikenakan sekiranya pelajar melanggar mana-mana syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Demikianlah itu tadi lima jenis biasiswa kerajaan yang anda boleh mohon. Pastikan anda memahami syarat-syarat yang ditetapkan kerana dikhuatiri permohonan berisiko ditolak begitu sahaja. Semoga maju jaya dalam perjalanan anda untuk mendapatkan segenggam ijazah.

Sumber: KPM

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma