Siakap Keli
pelaksanaan akta kerja 1995 ditangguhkan
Gambar: petikan sidang media AWANI

Pelaksanaan Akta Kerja 1995 1 September Ini Ditangguhkan – Menteri

Pelaksanaan Akta Kerja 1995 (Pindaan) 2022 yang sepatutnya akan dilaksanakan pada 1 September ini ditangguhkan ke 1 Januari tahun depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, penangguhan yang dipersetujui Kabinet itu adalah bertujuan untuk memberi masa kepada majikan.

“Ini sedikit sebanyak dapat memberi ruang kepada pihak industri khususnya majikan supaya mereka recover lebih awal.

“Mereka khuatir mungkin penguatkuasaan ini akan (menimbulkan) dua perkara. Pertama, mereka (majikan) masih menghadapi shortage pekerja asing untuk menambahkan produktiviti.

“Dan dalam keadaan seperti ini apabila kita mengurangkan waktu operasi, mungkin ia akan menjejaskan pendapatan mereka, walaupun kita lihat 1 Januari adalah tarikh yang diputuskan di peringkat kementerian.

“Sekiranya kita sempat menyelesaikan semua isu-isu pekerja asing, (ia) mungkin boleh diawalkan,” katanya dalam sidang media seperti yang disiarkan AWANI sebentar tadi.

Pernah ditetapkan berkuat kuasa 1 September sebelum ini

Keratan laporan terdahulu

Imbas kembali laporan terdahulu, kementerian berkenaan sebelum ini pernah menetapkan pindaan bagi Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan dikuatkuasakan bermula 1 September ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim ketika itu berkata, pindaan tersebut adalah bagi menjaga kebajikan pekerja dan memberi fleksibiliti waktu bekerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Selain itu, pindaan ini juga memperkenalkan seksyen baharu mengenai aturan kerja fleksibel untuk bolehkan pekerja memohon pada majikan bagi melaksanakan pekerjaan ikut kesesuaian waktu kerja, hari bekerja atau tempat kerja termasuk bekerja dari rumah bagi situasi terdesak seperti pandemik COVID-19.

“Setakat hari ini (ketika itu), tiada cadangan atau libat urus untuk kita tetapkan empat hari bekerja di peringkat kementerian,” katanya.

Awang berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Nasir Hashim berhubung pendirian kerajaan mengenai empat hari bekerja dalam tempoh seminggu terutama dalam sektor swasta, pada sesi soal jawab di Dewan Negara dua minggu lepas.

Berita penuh menyusul.

Sumber: AWANI

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'