Siakap Keli
Najib
Gambar via Bernama

Perbicaraan Kes Laporan Audit 1MDB: Najib Tiba Di Mahkamah Dari Penjara Kajang

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Najib, 69, tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 8.48 pagi dari Penjara Kajang diiringi beberapa kenderaan polis dan Jabatan Penjara.

Petugas media dari pelbagai agensi mula berkumpul sejak 8 pagi bagi merakam gambar dan video ketibaan bekas perdana menteri itu serta membuat liputan kes berkenaan.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, turut hadir di mahkamah.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pada prosiding hari ini, djangka dua saksi pendakwaan akan memberi keterangan iaitu Arul Kanda dan Penguasa Kanan Cawangan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Haniff Lami.

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun jika gagal bayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Semalam, bekas perdana menteri itu hadir  pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB di hadapan  Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah

— BERNAMA

Faiz Mustafa