Pontevedra, Bandar Di Sepanyol Paling ‘Bebas Kereta’ Sejak 23 Tahun Lalu
Kebiasaannya sebuah bandar pasti mempunyai populasi penduduk yang padat jika hendak dibandingkan dengan kawasan pedalaman, malah bilangan kenderaan pun turut meningkat sama seiring pertambahan warga kota.
Pertambahan bilangan kereta sudah semestinya menjadikan suasana bandar lebih bising dengan bunyi hiruk-pikuk kenderaan yang sentiasa lalu-lalang.
Namun, pernahkah anda mengetahui bahawa terdapat sebuah bandar yang mengharamkan penggunaan kereta?
Bandar Pontevedra yang terletak di Sepanyol merupakan sebuah bandar yang bebas kenderaan sejak 23 tahun lalu. Ketiadaan kereta di bandar tersebut membuatkan anda boleh mendengar kicauan burung-burung di jalanan.

Bandar ini turut mencatatkan rekod tersendiri apabila tiada kes kematian melibatkan kemalangan jalan raya sejak tahun 2009.
Difahamkan, Miguel Anxo Fernández Lores menjadi datuk bandar itu sejak 1999 dan beliau mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Lores menjadi datuk bandar Pontevedra selepas 12 tahun menjadi pembangkang dari ahli Blok Nasionalis Galicia.
“Mempunyai kereta membuatkan anda tiada ruang awam untuk digunakan,” katanya.
Pada awalnya, datuk bandar itu mahu memperbaiki kesesakan lalu lintas, namun tidak menemui solusi sebelum memutuskan kepada penduduk untuk “membuang kereta” mereka.
Pertukaran sistem baharu di bandar berkenaan bagaimanapun mendapat tentangan daripada penduduk bandar selepas Lorez mengumumkan bahawa mereka tidak boleh memandu secara bebas.
Walaupun penduduk mendakwa bahawa ia adalah hak mereka, namun Lores mengatakan sebenarnya perkara tersebut adalah kemahuan.

Sementara itu, menurut arkitek tempatan, Rogelio Carballo Soler, dia mengatakan bahawa bandar itu sangat sesuai untuk pejalan kaki.
“Anda boleh melintasi bandar itu hanya dalam masa 25 minit,” jelasnya.
Kos penstrukturan ditanggung penduduk
Apa yang lebih menarik, kos perancangan dan penstrukturan semula jalan di bandar Pontevedra dibiayai oleh penduduk tempatan dan tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan wilayah atau pusat, walaupun sebelum itu mereka membantah perkara tersebut.
Pelbagai langkah yang telah diambil bagi merealisasikan impian tersebut termasuklah menghentikan kereta yang memasuki bandar, membuang tempat meletak kereta di jalan serta membuang lampu isyarat bagi mengurangkan punca kesesakan lalu lintas.
Tidak sampai sebulan bandar itu di bawah naungannya, Lorez telah menambak kawasan jalan seluas 74.132 ekar dengan tiang bendera jenis batu granit.
Tambahan lagi, zon bebas kereta juga dipanjangkan dari bandar lama hingga ke kawasan moden menggunakan laluan jalan raya. Perkara itu membuatkan kadar had laju di bandar itu hanyalah 30 km/j.

Perubahan jalan raya itu sememangnya mempengaruhi bilangan nyawa yang maut akibat kemalangan jalan raya.
Statistik menunjukkan bahawa dari tahun 1996 hingga 2006, seramai 30 orang maut melibatkan kemalangan jalan raya, manakala dalam tempoh 10 tahun kemudian jumlahnya turun mendadak kepada tiga orang sahaja.
Tambahan lagi, pembebasan gas karbon dioksida (CO2) turut turun 70 peratus atau tiga per empat selepas pengharaman kereta dan pertukaran kepada pejalan kaki dan penggunaan basikal.

Menurut seorang individu, Raquel García, dia menjelaskan bahawa dirinya pernah tinggal di Madrid dan pelbagai tempat lain, namun bandar ini yang paling dianggap ‘syurga’.
Tambahnya, dia dapat berjalan kaki ke mana-mana sahaja tanpa menghiraukan bahaya kenderaan walaupun sewaktu hujan.
Kesesakan lalu lintas di pinggir bandar
Bagaimanapun, isu utama selepas sekatan kenderaan di Pontevedra adalah masalah kesesakan lalu lintas di pinggir bandar ekoran tiada tempat meletakkan kenderaan yang mencukupi.
Sebagai inisiatif lain, terdapat 1,686 tempat meletak kereta secara percuma yang dibuka di bawah tanah. Perubahan sistem baharu itu telah membawa masuk sebanyak 12,000 orang. Kini penduduk bandar Pontevedra mencapai 80,000 orang.
Terdahulu, bandar tersebut mempunyai sekitar 14,000 kereta menggunakan jalan setiap hari sebelum Lores menjadi datuk bandar. Jumlah itu jauh lebih banyak daripada populasi penduduk bandar berkenaan.
Tambahan lagi, bandar Pontevedra juga pernah terkenal dengan sindiket dadah dan kemalangan jalan raya satu ketika dahulu sebelum direvolusikan menjadi wilayah paling ‘tenang’ tanpa asap kenderaan.
No traffic deaths since 2009. Read more: https://t.co/kIOX1zTdEf #transport pic.twitter.com/NhArBstW4j
— World Economic Forum (@wef) September 21, 2018
Sumber: The Guardian, World Economic Forum