Siakap Keli
Kredit: Instagram

Berita Baik Untuk Peminat Nasyid, Raihan Buat ‘Comeback’ Dalam Konsert November Ini

Berita baik untuk peminat-peminat nasyid di seluruh negara, Raihan bakal buat ‘comeback’ dalam sebuah konsert pada November ini.

Setelah sekian lama tidak mendengar khabar, akhirnya sebuah kumpulan nasyid ‘otai’ tanah air telah membawa perkhabaran gembira buat peminatnya. Kumpulan nasyid legenda, Raihan akan melakukan penampilan semula di hadapan peminat melalui konsert yang bakal diadakan lebih kurang tiga bulan lagi.

Kumpulan ini telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat Islam di Malaysia. Kita semua membesar dengan mendengar lagu-lagu ciptaan kumpulan ini seperti 25 Rasul, 12 Bulan Islam, Iman Mutiara dan sebagainya. Lagu-lagunya bukan sahaja menghiburkan tetapi memberikan input positif kepada kita, seperti panduan amalan harian serta hiburan menenangkan jiwa.

Walau bagaimanapun, kita agak kurang mendengar khabar mengenai kumpulan ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jika tidak silap, kali terakhir penampilan mereka di khalayak ramai adalah pada tahun 2020, di mana ketika itu mereka mengeluarkan lagu Damba Cinta Mu yang menampilkan seorang selebriti tempatan yang serba boleh, Alif Satar.

Walaupun jarang ‘comeback‘, penangan ‘otai’ biasanya jarang tidak menyengat. Pada tahun 2019 juga, Raihan turut mengeluarkan lagu remake Sesungguhnya bersama Alif Satar. Difahamkan, Sesungguhnya (versi remake) merupakan lagu pertama dikeluarkan oleh kumpulan nasyid tersebut, selepas album terakhir mereka, Lagu-Lagu Hafalan diterbitkan pada 2011.

Siapa sangka remake tersebut sangat disambut baik oleh rakyat Malaysia. Sambutan baik ini turut pernah dilaporkan dalam Siakap Keli kira-kira lima bulan yang lalu. Berdasarkan artikel tersebut, video lagu nyanyian kolaborasi mereka di laman Youtube dikatakan mencecah sehingga 1.2 juta tontonan dan trending nombor satu di Malaysia dalam masa dua hari sahaja.

Keratan artikel terdahulu

BACA JUGA: Merdu Sungguh, Netizen Terpukau Dengar Selawat “Assolatuwasalam” Versi ‘Acapella’ Raihan Dengan Alif Satar & The Locos

Perkara ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia sangat sayangkan kumpulan nasyid ini. Kita semua sangat rindukan suasana  membesar dengan lagu-lagu mereka. Satu video Youtube sahaja masih tidak cukup untuk mengubati rasa rindu yang terbuku di hati. Jangan risau, ini adalah khabar baik buat anda!

Penantian lama sudah pun berakhir

Menurut perkongsian di akaun Instagram rasmi Raihan (@raihannasheedofficial) baru-baru ini, difahamkan kumpulan nasyid lagenda ini bakal buat ‘comeback’ dalam satu konsert beberapa bulan lagi. Konsert yang dinamakan sebagai GARIS MASA RAIHAN 2022 ini akan berlangsung pada 26 November ini (Sabtu), bertempat di Stadium Malawati Shah Alam. Harga tiket bermula daripada RM59 sehingga RM500.

Kredit: Instagram Raihan

 

 

 

Untuk rekod terdahulu, kumpulan Raihan telah berjaya menempah nama mereka di peringkat antarabangsa. Pelbagai pencapaian yang sangat membanggakan seperti pernah menjadi artis Malaysia ketiga yang membuat persembahan di Royal Albert Hall, United Kingdom. Mereka juga pernah bergandingan dengan seorang pendakwah terkenal, Yusuf Islam dalam lagu yang berjudul Rakan Selawat: The Seal of The Prophet dan God Is The Light.

Akhir kata, kumpulan Raihan yang telah menghasilkan lagu-lagu nostalgia yang menemani kita sewaktu kita masih muda. Dengan ini, wajarlah kita menzahirkan sokongan padu dengan menghadiri konsert ini. Pembelian tiket boleh dilakukan pada pautan ini.

BACA JUGA: Merdu Sungguh, Netizen Terpukau Dengar Selawat “Assolatuwasalam” Versi ‘Acapella’ Raihan Dengan Alif Satar & The Locos

Sumber: @raihannasheedofficial via Instagram / Wikipedia

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma