Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Remaja Perempuan 13 Tahun Maut Dipercayai Terjatuh Kondominium
GEORGE TOWN, 29 Ogos (Bernama) — Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru, dekat sini, hari ini.
Ibu mangsa menyedari anaknya telah terjatuh dan berada dalam keadaan tertiarap pada bahagian bumbung kawasan parkir kondominium tersebut kira-kira 6.30 pagi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.48 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, remaja itu ditemukan di atas bumbung tingkat satu kawasan parkir kenderaan dan dipercayai terjatuh dari aras 11 kediaman berkenaan.
“Pemeriksaan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati remaja itu telah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.
Sumber: BERNAMA