Siakap Keli
Kredit PR Bangkok

Bangkok Dijangka Tenggelam & Hilang Dari Peta Dunia Menjelang 2100

Bangkok Dijangka Tenggelam Dan Hilang Dari Peta Dunia Menjelang 2100

Bangkok, ibu negara Thailand dan beberapa kawasan sekitarnya diramalkan bakal ditenggelami air dan hilang dari peta dunia menjelang tahun 2100, berdasarkan kajian pemetaan yang dibuat oleh sebuah organisasi perubahan iklim global.

Memetik laporan The Thaiger, Pengarah Pusat Perubahan Iklim dan Bencana di Universiti Rangsit, Dr. Seree Supharathit berkata, kerajaan perlu bersedia untuk mengalihkan ibu kota jika mereka tidak segera mengambil sebarang langkah pencegahan.

Seree juga berkata, Thailand dijangka akan berdepan lebih banyak jumlah taburan hujan bermula September hingga November, dan Jabatan Meteorologi meramalkan dua hingga tiga ribut tropika boleh melanda negara itu.

Katanya lagi, Thailand juga mungkin menerima hujan paling lebat yang pernah terjadi dalam tempoh 100 tahun.

Seree memberitahu empangan Pak Sa ketika ini penuh dan sekiranya air dialirkan ke timur ia akan mengalir ke terusan Rangsit.

“Apabila air melimpahi Terusan Phraya Banlue, warga Bangkok kena bersiap sedia untuk mencari perlindungan,” tambahnya.

Justeru, Dr Seree menyeru agar pihak berkuasa, termasuk Gabenor Bangkok untuk bersikap telus mengenai banjir dan mengambil langkah pencegahan dengan segera.

Ujarnya, kerajaan ketika ini belum mengeluarkan maklumat jelas kepada orang ramai dan masih mengekalkan 13 langkah pencegahan terdahulu yang terbukti tidak memberikan sebarang perlindungan.

Sebelum ini, pakar mempunyai perbezaan bilakah tempoh sebenar Bangkok akan tenggelam. Pada 2019, para penyelidik berpendapat tempoh itu mungkin jatuh pada tahun 2050.

Sumber: The Thaiger

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka