Siakap Keli
Kredit: Arab News

Putera Mahkota Arab Saudi Baik Pulih 30 Masjid Bersejarah

30 masjid bersejarah terpilih bagi seluruh Arab Saudi akan mengalami proses pemuliharaan. Hal ini bersempena fasa kedua projek “Developing Historical Mosques” atas kelolaan Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Tujuan projek ini adalah untuk melestarikan tapak bersejarah dengan peranan asalnya.

Fasa pertama telah menyaksikan 30 masjid diubah suai di sepuluh wilayah seluruh negara. Projek Putera Mahkota itu akan menyaksikan kira-kira 130 masjid dipulihkan, menurut laman web Vision 2030.

Pertama sekali, Masjid Al-Baiah, yang dibina oleh Khalifah Abbasiyah Abu Jafar Al-Mansour, terletak di Shaab Al-Ansar di belakang Gunung Aqabah berhampiran Jamarat Al-Aqaba di Mina antara masjid yang terlibat dalam projek ini.

Kredit: Islamic Landmark

Ia dikenal pasti semasa projek pembesaran Jamarat pada 2007 dan merupakan salah satu monumen mercu tanda di Mekah. Kawasan itu akan memiliki keluasan yang sama iaitu 457 meter persegi dengan kapasiti untuk 68 jemaah, lapor Saudi Press Agency.

Selain itu, di Jeddah, Masjid Abu Inbeh Masjid di Harat Al-Sham turut terlibat dalam projek ini. Masjid yang berusia 900 tahun di Harat Al-Sham itu kini akan memiliki keluasan seluas 335 meter persegi untuk 357 jemaah, daripada luas sebelumnya iaitu 339 meter persegi untuk 360 jemaah.

Dalam bandar yang sama, Masjid Al-Khadr di Jalan Al-Thahab di Al-Balad turut diperluaskan kepada 355 meter persegi untuk menampung kira-kira 355 jemaah.

Seterusnya, Masjid Al-Fath di Al-Jamoum telah dibina selama berabad-abad yang lalu. Menurut Arab News, dikatakan Nabi Muhammad SAW dipercayai pernah mendirikan solat di masjid ini pada masa penaklukan semula Kota Mekah.

Masjid ini telah diubah suai pada tahun 1998 selepas beberapa tahun diabaikan. Kini, ia akan diperluaskan daripada 455 meter persegi kepada 553 meter persegi, bagi meningkatkan kapasitinya daripada 218 kepada 333 jemaah.

Masjid Al-Jubail di Thaqif, Taif, dibina lebih 300 tahun lalu dan menjadi tempat lazim untuk mendirikan Solat Jumaat. Selepas pengubahsuaian, ia akan mempunyai keluasan sebanyak 310 meter persegi dengan kapasitinya kekal terhadap 45 jemaah sahaja.

Tindakan Ini Disambut Baik Oleh Sejarawan Arab Saudi

Masjid-masjid tersebut akan dibaik pulih dan diperbaharui dengan bahan-bahan berkualiti dan masih mengekalkan ciri sejarahnya, kata Dr. Fawaz Al-Dahas, Pengarah Pusat Sejarah Mekah. Beliau juga memberitahu Arab News bahawa tempat ibadat ini mempunyai “nilai sejarah yang hebat.”

Kredit: Arab News

Projek Putera Mahkota tersebut adalah sebahagian daripada rancangan Vision 2030 bagi memulihara warisan negara, sambil menggunakan struktur purba ini untuk memberi inspirasi kepada reka bentuk masjid baharu.

Sejarawan Saad Al-Judi berkata, “Negara Saudi, melalui Projek Putera Mohammed bin Salman, telah menghidupkan semula masa lalu dengan memberi penerangan tentang masjid yang diabaikan pada era sebelumnya. Beberapa masjid ini dibina ratusan tahun yang lalu,”

Sementara itu, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, Presiden Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci, memuji projek  “Developing Historical Mosques” ini yang untuk membangunkan masjid bersejarah dalam fasa pertama dan keduanya.

Di samping itu, Al-Sudais juga berkata bahawa tugas menjaga masjid merupakan salah satu kejayaan pemimpin Arab Saudi sejak penubuhan negara itu oleh Raja Abdul Aziz sehingga kini.

Kredit: Arab News

Perkara ini juga kelihatan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs)  bagi matlamat kesembilan ‘Industri, Inovasi dan Infrastruktur‘ iaitu untuk membina infrastruktur kukuh, mempromosikan industri yang menyeluruh dan mampan dan merangsang inovasi.

Akhir sekali, tindakan ini dilihat sangat baik kerana ia dapat memberikan kebaikan kebanyakan pihak. Selain daripada menampung jumlah jemaah yang semakin ramai, tindakan ini dilhat sangat baik dari sudut sejarah dan Islam itu sendiri.

Dari sudut sejarah, kita dapat melakukan konservasi tapak-tapak bersejarah daripada terabai dan menghidupkan semula fungsi masjid sebagai tempat ibadah sekali gus, pusat penyebaran ilmu kepada khalayak.

Sumber: Arab News 

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma