Siakap Keli
pemegang visa pelancong tunai umrah
Kredit: Pixabay

Arab Saudi Benarkan Pemegang Visa Pelancong Untuk Tunai Umrah

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan bahawa sesiapa yang memiliki visa pelancong dan visa komersial kini dibenarkan untuk menunaikan ibadah umrah semasa mereka berada di Arab Saudi. Kemudahan ini tersedia kepada 49 negara di seluruh dunia.

“Anda boleh mendapatkan visa mereka secara atas talian melalui portal “Visit Saudi Arabia” atau sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Saudi, kata kementerian sambil menyatakan bahawa keputusan telah diambil untuk memudahkan seramai mungkin orang menunaikan umrah,” lapor Saudi Gazette.

Gambar hiasan | Kredit: Arabia Travel News

Jelas kementerian itu, pemegang-pemegang visa AS, UK dan Schengen juga adalah tergolong dalam kalangan mereka yang layak menunaikan umrah. Perkara ini bersempena dengan permulaan musim umrah baharu dengan matlamat untuk membuka jalan kepada majoriti umat Islam di seluruh dunia bagi menunaikan ibadah itu dengan bebas dan mudah.

Difahamkan, sistem ini membolehkan orang ramai mendapatkan visa pelancong yang sah selama 12 bulan, ketika tiba di salah satu lapangan terbang Arab Saudi tanpa memerlukan permohonan terlebih dahulu. Pemegang visa juga akan dibenarkan untuk melawat bandar dan wilayah di seluruh negara tersebut.

Pemohon hendaklah daripada kalangan negara yang layak untuk mendapatkan visa elektronik. Berkenaan mereka yang merupakan pemegang visa Amerika, UK dan Schengen, visa mereka adalah sah dan mesti memiliki setem kemasukan daripada negara yang mengeluarkan.

Visa Lawatan Keluarga dibenarkan untuk melakukan umrah

Menurut kementerian itu juga, pemegang visa lawatan keluarga dari pelbagai negara juga boleh menunaikan umrah dengan membuat tempahan temu janji melalui aplikasi Eatmarna. Permohonan dilakukan melalui ahli keluarga mereka yang menetap di Arab Saudi. Mereka juga perlu membuat permohonan melalui Platform Visa Bersepadu Nasional.

Kredit: Google Play

Merujuk laporan Saudi Gazzette, sebelum menunaikan umrah, pelawat mesti mendapatkan insurans kesihatan yang komprehensif termasuklah perlindungan kos rawatan jangkitan coronavirus; kemalangan yang mengakibatkan kematian atau hilang upaya; perbelanjaan tambahan jika terdapat kelewatan atau pembatalan penerbangan dan lain-lain.

Manakala bagi yang ingin menunaikan umrah selain daripada negara tersenarai tersebut, yang pada masa ini layak, mereka perlu memohon visa di kedutaan Arab Saudi di negara masing-masing, tambah laporan itu.

Sumber: Arabia Travel News

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma