Siakap Keli
Kredit CNN

Rusia Tutup Paip Bekal Gas Ke Eropah Sepenuhnya, Dakwa ‘Turbin Rosak’ & Tiada Tarikh Bila Siap Dibaiki

Rusia Tutup Paip Bekal Gas Ke Eropah Sepenuhnya, Dakwa ‘Turbin Rosak’ & Tiada Tarikh Bila Siap Dibaiki

Gergasi minyak Rusia, Gazprom pada Jumaat memaklumkan saluran paip gas ke Jerman yang melalui Laut Baltik akan ditutup sehingga kerosakkan turbin berjaya dibaiki. Ia sekaligus meletakkan bekalan gas Eropah dalam suasana tidak menentu memandangkan tiada tarikh bila ia akan siap dibaiki dinyatakan. Saluran paip berkenaan yang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sepatutnya beroperasi semula hari ini.

Menurut AFP, Gazprom dalam satu kenyataa rasmi menyebut “kebocoran minyak” ditemui dalam turbin ketika pihaknya menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual selama tiga hari.

Kenyataan tersebut turut menambah, sehingga kerja-kerja pembaikkan siap, penghantaran gas melalui Nord Stream, salah satu laluan penghantaran utama Gazprom, akan digantung sepenuhnya.

Gazprom memaklumkan masalah berkenaan ditemui ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan bersama syarikat pembina turbin, Siemens. Syarikat berkenaan turut memuat naik beberapa foto kerosakan yang ditemui itu melalui akaun Telegramnya.

Rusia sebelum ini memberi amaran bahawa operasi Nord Stream boleh terjejas pada masa depan ekoran masalah bekalan alat ganti yang dihadapi syarikat itu.

“Tiada simpanan teknikal, hanya satu turbin berfungsi. Jadi, kebolehpercayaan operasi seluruh sistem ini berdepan dengan risiko,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada pemberita sambil menegaskan masalah yang berlaku bukan berpunca daripada syarikat tersebut.

Berikutan sekatan ekonomi yang dikenakan kepada Rusia susulan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine, Rusia telah bertindak mengurangkan atau menghentikan bekalan ke negara Eropah, yang menyebabkan kenaikan harga tenaga melambung tinggi di benua tersebut.

Rusia bagaimanapun menegaskan bahawa pengurangan penghantaran bekalan gas melalui Nord Stream berpunca daripada sekatan Eropah yang telah menghalang proses penghantaran pulang turbin oleh Siemens yang sedang menjalani pembaikan di Kanada.

BACA: Viral Rakaman Budak Empat Tahun Didakwa Bertunang, Siap Ada Rombongan & Sarung Cincin

Sumber: AFP

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka