Motosikal merupakan sebuah kenderaan yang mudah untuk ditunggang kemana-mana sahaja lebih-lebih lagi di kawasan yang sempit.
Seperti yang diketahui, sesetengah kedai menawarkan ‘loan kedai’ bagi melancarkan urusan pembelian motosikal idaman yang tidak mampu untuk dibeli secara wang tunai atau tiada payslip.
Bagaimanapun, segelintir individu yang membuatkan pinjaman di kedai motosikal bersikap sambil lewa dengan tidak membayar hutang pinjaman selepas memperolehi motosikal tersebut.
Ekoran tidak menjelaskan bayaran tunggakan, sebuah kedai motosikal telah mengeluarkan senarai nama pembeli di media sosial.
Menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di platform Facebook, senarai nama dan jenis model motosikal yang ‘dipinjam’ telah didedahkan.
Antara jenis model yang terpampang dalam senarai itu termasuklah Yamaha Y15ZR, Yamaha NVX, Yamaha EGO dan banyak lagi. Apa yang lebih menyedihkan lagi, ada sebahagian tunggakan motor sehingga 36 bulan bersamaan 3 tahun.

“Tak semua orang bekerja ada payslip. Tak semua orang berniaga duti masuk bank. Tak ada bank statement. Tapi kalau ada duit, InsyaAllah boleh buat loan kedai.
“Loan kedai bertujuan untuk membantu individu yang tiada dokumen yang lengkap untuk buat loan dengan mudah dengan syarat membayar sejumlah deposit dan diteruskan dengan bayaran bulanan maksimum selama 3 tahun.
“Namun, segelintir orang kita taktau berterima kasih, bila dah diberi peluang yang baik,” luah kedai motosikal berkenaan.
Menurut kedai itu lagi, nama-nama tersebut akan dipadam dari senarai jika bayaran telah dilunaskan. Tetapi jika sebaliknya, tindakan selanjut akan dikenakan.
“Pandai hutang, pandai bayar,” ujarnya.

Menerusi hantaran tersebut, orang ramai tampil memberikan reaksi menyokong tindakan yang dilakukan malah ada yang turut mencadangkan agar loan kedai dilakukan ke atas motor yang berharga RM5,000 hingga RM7,000 ke bawah sahaja.
Untuk motosikal berharga melebihi RM7,000 perlu melalui loan bank, jelas seorang pengguna.
Sehingga kini kiriman itu telah mendapat lebih 2,000 tanda ‘Suka’, 2,400 lebih komen serta 1,900 perkongsian di Facebook.


Sumber: Motor Mok Mung