Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gara-gara kutipan tayangan filem Laal Singh Chaddha (2022) tidak ‘laku’, pelakon dan pengarah Bollywood terkenal, Aamir Khan tekad menolak bayaran untuk bahagiannya sendiri selaku pelakon dan penerbit, lapor Outlook India.
Filem romantik-komedi arahan pengarah Advait Chandan yang menelan kos sebanyak RM101 juta itu hanya mampu mencatatkan kutipan serendah RM67 juta sahaja sejak mula ditayangkan di seluruh dunia pada 11 Ogos lepas.
Dalam masa sama, jumlah bahagian untuk Aamir bagi bayaran lakonan serta kos penerbitan pula adalah RM56 juta, namun pelakon itu sanggup menolaknya kerana semata-mata mahu menampung kos kerugian.
“Dia (Aamir) sudah habiskan masa empat tahun untuk menghasilkan filem tersebut tapi langsung tak ambil satu sen pun daripadanya.
“Hakikatnya, dia masih berpeluang untuk dapatkan bayaran sebanyak RM56 juta, tetapi dirinya memilih untuk tanggung segala kerugian dan turut salahkan dirinya sendiri atas kegagalan filem tersebut,” maklum laporan itu.

Difahamkan, Laal Singh Chaddha yang merupakan remake kepada filem terdahulu, Forest Gump (1994) yang pernah dibintangi Tom Hanks itu ditayangkan bersempena sambutan Raksha Bandhan pada tahun ini.
Filem bertemakan romantik-komedi tersebut dibintangi oleh beberapa pelakon terkenal Bollywood seperti Aamir sendiri, Kareena Kapor, Naga Chaitanya, Mona Singh, Manav Vij, Ahmad Ibn Umar dan Hafsa Ashraf.
Menurut Outlook India, filem itu asalnya tidak akan ditayangkan di mana-mana platform penstriman (online streaming) sehingga enam bulan selepas tayangannya di pawagam.
Namun, sambutan hambar di pawagam menyebabkan pihak produksi terpaksa membuat keputusan untuk memasukkannya ke dalam platform penstriman lebih awal daripada perancangan asal.
Justeru, selepas beberapa kali berunding, pembikin Laal Singh Chaddha akhirnya memeterai perjanjian dengan Netflix untuk menayangkannya secara penstriman online bermula 20 Oktober ini.
Terdahulu, Aamir Khan dikatakan pernah menuntut hak penstriman terhadap pihak Netflix dengan nilai perjanjian hampir RM84 juta.
Akan tetapi, setelah filem tersebut gagal menarik jumlah penonton yang ramai, akhirnya kadar nilai perjanjian yang dipersetujui hanyalah sekitar RM45 juta ke RM51 juta.
Sumber: Outlook India